Anda di sini

Wanita jual nombor ekor haram ditahan

Advertisement
SEBAHAGIAN barangan yang dirampas semula daripada suspek yang memecah masuk rumah mangsa di Kg Bakalau.
SEBAHAGIAN barangan yang dirampas semula daripada suspek yang memecah masuk rumah mangsa di Kg Bakalau.

BEAUFORT: Seorang wanita ditahan pihak polis selepas didapati menjual nombor ekor secara haram di pejabat menjual sawit Kampung Lajau, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata suspek berumur 31 tahun yang juga seorang kerani ditahan di pejabatnya kira-kira jam 3 petang.

"Selepas disiasat, suspek mengaku menjual nombor ekor tanpa lesen. Beberapa barangan termasuk kertas loteri bercetak, telefon bimbit, mesin pencetak mudah alih, beg serta wang tunai berjumlah RM53 turut dirampas semasa serbuan," katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua suspek pecah masuk rumah ditahan dalam dua serbuan berbeza masing-masing di Kampung Bakalau dan Kampung Menengah Weston di sini, bermula malam Ahad.

Azmir berkata suspek berumur 33 tahun ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Bakalau dan melarikan beberapa barangan berharga termasuk tabung, komputer riba, telefon dan set permainan PS4 dengan nilai kerugian mencecah RM5,000.

"Suspek didapati mengambil kesempatan memecahkan rumah semasa mangsa tidak berada di rumah berikutan berada di Semenanjung selama seminggu untuk bercuti.

"Hasil siasatan dan risikan berterusan, suspek yang bekerja sebagai buruh itu berjaya ditahan di perkampungan sama kira-kira jam 11.50 malam Ahad," katanya.

Katanya kes seterusnya berlaku apabila suspek berumur 45 tahun memecah masuk ke rumah semasa mangsa bercuti dan melarikan barangan termasuk 12 telefon bimbit, 30 utas pukat dan komputer riba dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM9,000, selain wang tunai RM1,300.

"Suspek yang menggunakan hasil rompakan untuk membeli syabu berjaya ditahan pada jam 1.48 pagi Isnin dan polis hanya merampas tujuh telefon bimbit yang dipercayai dicuri dari rumah mangsa," katanya.

Tambahnya kedua-dua suspek ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement