Anda di sini

Ketangkasan Beiranvand bawa Iran ke suku akhir

Advertisement
 Beiranvand menepis tendangan pemain Oman ketika beraksi pada perlawanan di Stadium Zayed Sports City, Abu Dhabi kelmarin. — Gambar Reuters
TANGKAS: Beiranvand menepis tendangan pemain Oman ketika beraksi pada perlawanan di Stadium Zayed Sports City, Abu Dhabi kelmarin. — Gambar Reuters

ABU DHABI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE): Iran terselamat dari penalti minit pertama sebelum akhirnya menewaskan Oman 2-0 untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia di sini Ahad lepas.

Penjaga gol Alireza Beiranvand menyelamat tendangan penalti dari Oman sebelum Alireza Jahanbakhsh dan Ashkan Dejagah menjaringkan gol untuk membawa Iran ke suku akhir dan akan bertemu dengan China.

Beiranvand menyelamat tendangan penalti Cristiano Ronaldo pada kejohanan Piala Dunia tahun lepas dan membuat ramalan tepat dengan menepis tendangan oleh kapten Oman, Ahmed Al-Mahaijiri, menafikan Oman gol pembukaan awal.

“Secara jujurnya, saya terkenang Cristiano sebelum tendangan dibuat,” kata Beiranvand ketika memberitahu AFP.

“Saya tidak mahu fikir aksi tangkas saya di Rusia (menepis penalti Ronaldo) adalah kebetulan. Tetapi menyelamatkan penalti adalah tugas saya dan ia juga tanggungjawab saya untuk membantu pasukan.”

Iran, yang mahu menamatkan kemarau 43 tahun kejohanan ini, membuka jaringan pada minit ke-32 apabila Jahanbakhsh menyempurnakan umpanan jauh dan menewaskan penjaga gol Oman, Faiyz Al-Rusheidi.

Kapten Iran, Dejagah, menyempurnakan penalti empat minit sebelum rehat untuk melengkapkan jaringan selepas Mehdi Taremi dijatuhkan dalam kotak penalti.

Beiranvand sekali lagi beraksi tangkas menepis rembatan jarak jauh Muhsen Al-Ghassani sebelum rehat.

Sardar Azmoun – digelar ‘Messi Iran’ – mempunyai dua peluang terbaik selepas rehat tetapi gagal melakukan penyudah kemas.

Taremi juga mensia-siakan beberapa peluang dengan Iran tidak kelihatan dalam bahaya berdepan lawan yang sering melakukan kesilapan.

“Ia kali pertama dalam hidup saya sebuah pasukan memberikan penalti kepada lawan pada minit pertama,” kata jurulatih Iran, Carlos Queiroz.

“Kami perlu bermain dengan semangat membunuh. Ia penting untuk menamatkan permainan apabila mempunyai peluang,” tambah beliau.

“Bola sepak adalah tugas sukar untuk pemain dan jurulatih.”

Jurulatih Oman, Pim Verbeek, memberikan pujian kepada pemainnya selepas juara Teluk itu melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia buat kali pertama.

“Saya berasa sangat bangga dengan pemain saya,” kata  beliau. “Mereka mengharungi kejohanan yang hebat dan seharusnya tidak berasa malu tewas kepada pasukan seperti Iran.”

China bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Thailand.

Thailand memulakan permainan dengan memberangsangkan dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi jaringan Supachai Jaided.

Tetapi China, naib juara kejohanan pada 1984 dan 2004, bangkit menerusi gol Xiao Zhi dan penalti Goa Lin ketika berbaki 20 minit permainan untuk menempah pertemuan suku akhir menentang Iran.

“Saya berasa gembira dengan reaksi pemain,” kata jurulatih China, Marcello Lippi, yang dijangka akan meletak jawatan selepas kejohanan ini.

“Kami ke suku akhir, yang mana ia satu langkah penting – sekarang kita akan lihat apa yang akan berlaku.”

Turut mara ke suku akhir ialah Vietnam, yang menewaskan Jordan menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas seri 1-1 sehingga masa tambahan.

Di suku akhir, Vietnam, juara kejohanan Asia Tenggara, akan bertemu sama ada Jepun atau Arab Saudi. — AFP

Advertisement