Anda di sini

Colombia tuntut Cuba serah pengebom ELN

Advertisement
 Seorang anggota polis wanita dipeluk seorang wanita warga emas semasa upacara peringatan mangsa serangan bom kereta di Bogota, di Itagui dekat Medellin, bahagian Antioquia kelmarin. — Gambar AFP
SOKONGAN: Seorang anggota polis wanita dipeluk seorang wanita warga emas semasa upacara peringatan mangsa serangan bom kereta di Bogota, di Itagui dekat Medellin, bahagian Antioquia kelmarin. — Gambar AFP

BOGOTA: Colombia menuntut supaya Cuba menyerahkan pemberontak ELN yang berada di Havana bagi rundingan damai, selepas satu pengeboman kereta maut di Bogota dipersalahkan terhadap kumpulan tersebut.

Presiden konservatif Ivan Duque menggesa Cuba dengan pemerintahan komunis itu, negara tuan rumah dan salah satu negara penjamin bagi proses damai, untuk menghantar pulang pemberontak Tentera Pembebasan Negara (ELN) yang berada di Havana.

Pada Jumaat lepas, kerajaan telah mempersalahkan pihak haluan kiri ELN ke atas pengeboman sebuah akademi polis di Bogota yang mengorbankan 20 orang termasuk penyerang, yang memberi tamparan terhadap proses damai.

Duque kemudian mengumumkan bahawa beliau telah mengembalikan semula waran tangkap terhadap 10 anggota ELN yang merupakan sebahagian delegasi kumpulan rundingan di Cuba.

Rundingan yang bermula dengan pemimpin sebelumnya, bertujuan menamatkan ketegangan selama lebih lima dekad oleh pihak pengganas yang berinspirasikan Marxis.

Duque menyatakan Cuba tidak seharusnya melindungi pemberontak tersebut.

“Pengeoman kereta di akademi polis merupakan satu jenayah yang mencabul hak asasi manusia.

“Dan tiada tindakan sebegitu layak untuk mengelak keadilan dilaksanakan,” menurut Duque ketika menyampaikan satu ucapan di Tolima.

Colombia telah mengalami keadaan tenang selama beberapa tahun sejak perjanjian damai 2016 ditandatangani presiden ketika itu Juan Manuel Santos dan pihak gerila Revolutionary Armed Forces of Colombia (FARC).

Dengan perjanjian mercu tanda menjadikan bekas pemberontak  sebagai sebuah parti politik, ELN yang lebih kecil telah dianggap sebagai kumpulan pemberontak terakhir masih aktif di negara ini.

Menunaikan janji-janji pilihan rayanya, Duque telah mengambil satu tindakan tegas terhadap ELN, termasuk tuntutan beliau agar mereka membebaskan semua tebusan sebagai satu pra-syarat untuk memulakan proses damai.

Kumpulan itu dipercayai sekarang sedang menahan 17 tebusan, sebahagian daripada mereka telah selama  beberapa tahun. — AFP

Advertisement