Anda di sini

Seludup migran: Juragan, empat penumpang ditahan

Advertisement
PPM Tawau mengesan kehadiran bot laju yang membawa muatan penumpang mencurigakan semasa melakukan Operasi Gelora Khas di perairan Sg Melayu, Pulau Sebatik.
PPM Tawau mengesan kehadiran bot laju yang membawa muatan penumpang mencurigakan semasa melakukan Operasi Gelora Khas di perairan Sg Melayu, Pulau Sebatik.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang juragan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di perairan Sg Melayu, Pulau Sebatik di sini, kira-kira jam 7. 45 pagi Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata juragan terbabit, 50, ditahan bersama empat penumpangnya semasa Operasi Gelora Khas dijalankan di kawasan laut terbabit.

"Botronda RH17 PPM Tawau mengesan bot laju suspek yang dalam perjalanan dari Jeti Awam Tawau menuju ke Sg Melayu Sebatik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat penumpang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita yang berumur 24 sehingga 51 tahun berada dalam bot itu.

Beliau berkata tiga daripada mereka memiliki pasort tamat tempoh manakala seorang lagi penumpang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Berikutan itu, kesemua penumpang dan juragan bot laju berkenaan ditahan oleh PPM Tawau kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran," katanya.

Mohamad berkata bot laju jenis gentian kaca dan enjin sangkut Yamaha berkapasiti 85 kuasa kuda turut dirampas serta dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM27,000 dan kertas siasatan dibuka di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).

  • oleh
  • Advertisement