Anda di sini

Peter mahu Sabah kekal di atas mercu

Advertisement
Peter (tengah) selepas menyampaikan sijil perkhidmatan kepada ketua-ketua jabatan KPI.
Peter (tengah) selepas menyampaikan sijil perkhidmatan kepada ketua-ketua jabatan KPI.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, beliau akan membawa pembangunan prasarana yang radikal dan terlihat agar Sabah akan menjadi negeri yang mempunyai prasarana yang sepadan dengan tuntutan dan keperluan kurun ke 21.

Beliau berkata, prasarana dan kemudahan infrastruktur bukan sahaja satu keperluan, tetapi ia menjadi petunjuk kemakmuran. Ia adalah lambang, ia juga adalah mercu.

"Ini adalah mandat dan pelan saya apabila dilantik sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI).

Jadi, saya mahu Sabah ini bukan sahaja kekal sebagai Negeri Di Bawah Bayu, tetapi Negeri Di Atas Mercu.

Bila orang bertanya tentang Sabah, mudah untuk kita terangkan. A state below the wind, above the rest. Negeri di bawah bayu, di atas mercu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baru 2019, bertempat di Dewan Serbaguna KPI/Jabatan Kerja Raya (JKR), di Sembulan dekat sini pada Jumaat.

Peter berkata, hanya dengan pembangunan prasarana terbaik sahaja, kualiti kehidupan dan kemajuan negeri Sabah dapat kita tingkatkan.  

Namun, katanya pelan ini hanya akan menjadi kenyataan jika perkhidmatan awam di Kementerian ini bersama-sama menyambut seruan ini dan melaksanakannya dengan komited. "Kita mesti sentiasa sedar".

Katanya, peranan penjawat awam sangat besar dan penting. Perkhidmatan awam mesti berpegang kepada prinsip telus, amanah dan cekap dalam menggalas tanggungjawab. Agar rakyat meyakini kita.   

"Pada masa yang sama, saya juga percaya kakitangan awam mesti mempunyai kebebasan untuk melaksanakan tugas demi rakyat dengan penuh profesional.  Saya mempunyai sebab peribadi dan politik untuk berpandangan sedemikian. 

Secara peribadi, saya mempunyai pengalaman yang luar biasa dengan penjawat awam. Saya bekerja dengan mereka yang sangat tinggi dedikasinya, profesional dan amanah. Ini bukan pengalaman setahun dua. Ia pengalaman seumur hayat," katanya.

"Guru yang mendidik saya. Doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran anak saya. Pegawai kanan yang senantiasa membantu saya di pejabat, di Dewan Undangan Negeri serta di pentadbiran negeri.
    
Semua mereka adalah penjawat awam yang telah menyentuh kehidupan saya, keluarga saya, dengan sentuhan yang sangat luar biasa.  Dan saya ingin memberikan yang terbaik kepada mereka.  

Secara politiknya, saya memerlukan perkhidmatan awam yang berwibawa dan progresif. Saya yakin Kementerian ini boleh melakar cerita kejayaan yang boleh dibanggakan Sabah.

Kita mempunyai tenaga dan kreativiti, pengalaman dan citra, ketekunan dan kegigihan, untuk menjadi negeri yang maju. Dan kita boleh melakukannya," katanya.

Peter berkata, tahun 2019 ini, akan bermulalah era memodenkan perkhidmatan awam di KPI.

"Azam saya, kakitangan kementerian ini bukan sahaja akan menjadi lebih kompeten, tetapi akan berada dalam kelas yang tersendiri.

Semua penjawat awam wajib sedar, kita tidak akan berjaya dalam kurun ke-21 jika kakitangan awam kita masih berada dalam kurun ke 20.

Kita mesti berusaha sehabis baik untuk merubah diri, mencambahkan idea  baru dan memperbaharui niat dalam memodenkan servis perkhidmatan kita kepada rakyat," katanya.

Katanya, moden bukan sahaja pada kemudahan infrastruktur dan fizikal. Tetapi yang paling penting adalah pada nilai dan cara  kita berfikir.   

Ini bermakna, untuk merealisasikan hasrat demikian, kita mesti mempunyai satu Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam di peringkat kementerian ini.   

Tidak bersifat retorik dan konsep semata-mata. Tetapi turut menyediakan hala tuju yang jelas, terarah, mempunyai sasaran dan perancangan yang mampu diukur secara munasabah,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement