Anda di sini

Lebih banyak stor runcit dibuka kepada pelanggan di tHe Spring Bintulu

Advertisement
 Abang Johari memukul gong simbolik pembukaan besar-besaran tHe Spring Bintulu sambil disaksi Troy (tiga kanan), pengurusan tHe Spring Bintulu serta menteri-menteri kabinet negeri.
RASMI: Abang Johari memukul gong simbolik pembukaan besar-besaran tHe Spring Bintulu sambil disaksi Troy (tiga kanan), pengurusan tHe Spring Bintulu serta menteri-menteri kabinet negeri.
 Gambar dirakam melalui anjung FoodBazaar tHe Spring Bintulu menghadap Laut China Selatan.
PEMANDANGAN INDAH: Gambar dirakam melalui anjung FoodBazaar tHe Spring Bintulu menghadap Laut China Selatan.
 Anjung tempat menjamu selera di FoodBazaar tHe Spring Bintulu.
ISTIMEWA: Anjung tempat menjamu selera di FoodBazaar tHe Spring Bintulu.
 Ruang beli-belah yang selesa di tHe Spring Bintulu.
LUAS: Ruang beli-belah yang selesa di tHe Spring Bintulu.

BINTULU: Pusat beli-belah gaya hidup serantau yang pertama di Bintulu iaitu tHe Spring Bintulu menawarkan pembukaan lebih banyak stor peruncitannya untuk para pengunjung di sini, semalam.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta dihadiri oleh isterinya Datuk Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku  Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Utiliti Dato Sri Dr  Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi, Pengerusi Parkcity The Spring (Bintulu) Sdn Bhd Troy Yaw, Pengarahnya Datuk Joseph Lau, Datuk Jason Tai dan James Ling.

Turut menyaksikan pembukaan itu ialah Personel Pengurusan Utama Hartanah tHe Spring iaitu Pengarah Eksekutif Datin Christine Ling, Ketua Pegawai Operasi Andy Song dan Pengurus Pusat Angelyne Kho.

Dalam pada itu Troy berkata, pewujudan pusat beli-belah itu tidak hanya lebih kepada tanggungjawab tetapi adalah untuk mencapai misi pihaknya.

“Kami percaya melalui projek ini akan meningkatkan taraf hidup penduduk untuk membeli, makan dan mendapatkan hiburan,” ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran tHe Spring Bintulu semalam.

Beliau berkata, dengan keluasan tanah 10 ekar dan kawasan pembinaannya 950,000 kaki persegi dan kawasan boleh disewa bersih 388,000 kaki persegi, 132 kedai dan 1,039 ruang parkir kereta, kini pencapaian sewaan adalah 80 peratus.

“Kami berbangga menawarkan pembukaan stor peruncitan Parkson, MBO Cinemas, Uniqlo, H&M, Ta Kiong Supermarket, Levi’s, Skechers, Sasa, Face Shop, Molly World Fantasy, Switch, Huawei, Siamcom, Tealive, HLA, Starbucks, KFC, Bata, Nike, Adidas, Under Armour Puma, New Balance, The Body Shop, Yoyoso dan Mr DIY serta akan banyak lagi akan dibuka,” katanya.

Katanya, rahsia kejayaan syarikat disumbangkan oleh usaha berpanjangan, kepercayaan dan kemudahan kerjasama sesama rakan yang sentiasa berdiri teguh dan berterusan memberi sokongan.

“Kami tidak menafikan kenyataan bahawa ada ruang besar taraf hidup antara Timur dan Barat Malaysia. Kami di Samling perlu terus berperanan untuk merapatkan jurang itu dan saya penuh yakin banyak perkara yang boleh dilakukan serta menyumbang kepada tanah negeri ini.

“Apabila kami mengumumkan untuk membuka pusat beli-belah ini pada November tahun lepas, ramai orang yang skeptikal tentangnya dan bertanya kepada saya sama ada kami terlalu bercita-cita tinggi. ‘Anda pasti dapat membuka tepat pada masanya?’ Jawapan ringkas saya kepada mereka ialah `’anda mahu bertaruh?’ dan kami akhirnya berjaya membuka operasi perniagaan kepada pengunjung pada 17 Disember 2018.

“Pada saya pasukan kami telah memukul mata lembu. Tahniah kepada pasukan kami yang bekerja keras dan dedikasi untuk melihat projek ini siap melalui waktunya  terutamanya pasukan pembinaan diketuai oleh James Ling dibantu oleh Helen dan pasukan penyewa Datin Christine Ling, Andy Son, Angelyne Kho dan Joanna Ling yang  melakukannya semua,” katanya.

Dengan pembukaan tHe Spring itu pelanggan di Bintulu kini dapat merasai pengalaman peruncitan yang unik semasa mengunjunginya seperti juga pengalaman sama yang diberikan oleh tHe Spring di Kuching.

Pengunjung atau pembeli dapat membeli-belah dalam pembukaan premis jenama kegemaran antarabangsa. H&M membuka premis pertamanya pada 20 Disember 2018 yang menawarkan barangan fesyen berkualiti terbesar dengan harga terbaik berterusan.

Parkson juga menbuka premisnya yang ke-45 yang merupakan ‘`departmental store’ yang pertama di bandar Bintulu. Ia mewakili mercu tanda pusat beli-belah terbaharu yang menawarkan pelbagai pilihan barangan fesyen pakaian, kasut, beg tangan, wangian, barangan bayi dan kanak-kanak serta barangan rumah.

Ciri-ciri menarik lain di `departmental store ini ialah taman permainan kanak-kanak dalaman yang ditempatkan di tengah-tengah `Kid’s Deparment’.

Di samping itu sebuah lagi premis iaitu Ta Kiong menawarkan jualan produk-produk import terbesar dengan harga  berpatutan.

Jenama lain yang telah membuka perniagaan mereka ialah SaSa, The Faceshop, Watsons, Popular Bookstore dan Molly Fantasy.

Pusat beli-belah itu turut menawarkan dekorasi sempena Tahun Baharu Cina, program penebusan eksklusif bagi yang berbelanja RM388 dan ke atas dalam satu resit,  peket angpau, set beg tHe Spring Bintulu Ang Pao dan set hadiah L’Occitane Relaxing Aroma Springtime.

Jenama peruncitan antarabangsa membabitkan Uniqlo dan Starbucks yang beroperasi di situ akan menyaksikan peningkatan dalam perbelanjaan warga tempatan dan ekspatriat di Bintulu sekali gus akan meningkat eknomi Bintulu.

Pusat beli-belah itu menawarkan 1,000 pekerjaan dalam industri peruncitan dan menjangka akan menerima sekitar tiga juta pengunjung pada tahun pertama dan  menyasarkan peningkatan seterusnya berikutan Bintulu disambungkan oleh hubungan laluan antarabangsa menerusi penerbangan terus dari Singapura.

The Spring Management Services (Bintulu) Sdn Bhd akan menguruskan pusat beli-belah gaya hidup dengan matlamatnya untuk menyediakan jenama unik tHe Spring untuk pengalaman membeli beli belah menarik kepada pengunjungnya.  Keterangan lanjut mengenai aktiviti di tHe Spring Bintulu’s Garden of  Dreams boleh diperolehi melalui Perkhidmatan Pelanggan di talian 082-344820.

Advertisement