Anda di sini

APMM Tawau selamatkan nelayan hanyut

Advertisement
MANGSA tidak menyedari botnya kehabisan minyak kerana terleka semasa memancing di sekitar perairan Sg Pukul, Pulau Sebatik, Tawau.
MANGSA tidak menyedari botnya kehabisan minyak kerana terleka semasa memancing di sekitar perairan Sg Pukul, Pulau Sebatik, Tawau.

TAWAU: Seorang nelayan yang dihanyutkan arus laut bersama botnya akibat kehabisan minyak semasa memancing di laut di sini, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau Komander (M) Mohd Yusri Hussin berkata bot terbabit diselamatkan pada awal pagi Sabtu selepas menerima laporan pengadu.

“Pengadu membuat panggilan MERS999 mengenai situasinya pada jam 6.42 pagi sebelum kita mengarahkan bot peronda untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Yusri berkata mangsa mengaku tidak menyedari botnya sudah kehabisan minyak semasa leka memancing di perairan Sg Pukul, Sebatik yang dipercayai berlaku kira-kira jam 6.40 pagi.

Menurutnya, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan selamat berada di dalam bot kayu yang menggunakan enjin berkapasiti 15 kuasa kuda pada jam 7.08 pagi oleh APMM Tawau.

“Nelayan itu berasal dari Kg Pisak-Pisak Sebatik, dan berumur 41 tahun,” katanya, sambil mengesahkan bot mangsa ditunda ke Jeti Sg Pukul dan selamat tiba pada jam 7.40 pagi .

Mengulas lanjut, beliau berkata operasi sedemikian tanda komitmen APMM Tawau dalam membantu mangsa-mangsa kes kecemasan di laut terutamanya di sekitar perairan daerah ini.

Orang awam yang ingin menyalurkan aduan atau maklumat, boleh menyalurkannya menerusi 089752115 (Pusat Operasi APMM Tawau) atau melalui talian bantuan kecemasan MERS999.

  • oleh
  • Advertisement