Anda di sini

Pertemuan semula Henry dan Vieira di Cote d’Azur berakhir dengan keputusan seri 1-1

Advertisement
 Henry (kiri) dan Vieira berjalan bersama ketika meninggalkan padang selepas tamat perlawanan di Cote d’Azur, Monaco kelmarin. — Gambar AFP
TETAP AKRAB: Henry (kiri) dan Vieira berjalan bersama ketika meninggalkan padang selepas tamat perlawanan di Cote d’Azur, Monaco kelmarin. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Ia sudah satu penghormatan bagi Thierry Henry dan Patrick Vieira selepas dua bekas rakan sepasukan di Arsenal dan skuad kebangsaan Perancis, bertemu buat kali pertama sebagai jurulatih ketika Monaco dan Nice seri 1-1 dalam aksi Ligue 1 Perancis Rabu lepas.

Kehadiran dua bintang legenda itu di tepi padang menjadikan perlawanan itu lebih menarik dari kebiasaan pertembungan dua kelab berjiran di Cote d’Azur.

Ia juga perlawanan tegang dengan Allan Saint-Maximin meletakkan Nice di hadapan sebelum pemain muda, Benoit Badiashile mengikat kedudukan buat Monaco dalam separuh masa kedua.

Nice bermain dengan 10 pemain tetapi juga melihat Saint-Maximin terlepas peluang untuk memastikan kemenangan apabila gagal menyempurnakan satu tendangan penalti pada lewat permainan.

Henry dan Vieira bersama-sama dalam skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 dan kemudian menjadi rakan sepasukan di Arsenal.

Mereka memulakan perlawanan dengan berpelukan sebelum sepak mula di Stade Louis II dan juga selepas tamat permainan walaupun jelas sekali tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan.

“Ia pelik,” kata Henry.

“Kami bermain bersama untuk tempoh yang lama dan kami meningkat bersama-sama,” kata beliau. “Kami ada berbual seketika tetapi kami memberikan sepenuh fokus pada perlawanan ini.”

Walaupun seri, Monaco masih kekal di tangga ke-19 liga, tiga mata dari zon selamat dan Henry masih belum menang di tempat sendiri sejak menjadi jurulatih.

“Satu mata tidak mencukupi tetapi kami juga bercakap tentang mengelak kekalahan di sini,” kata beliau.

Nice, yang hanya tewas sekali dari 10 perlawanan, mungkin lebih kecewa kerana tercicir dua mata dalam usaha memburu kelayakan ke bola sepak Eropah musim hadapan.

“Thierry boleh berasa gembira dengan keputusan ini tetapi saya tidak,” akui Vieira.

Henry, 41, hanya menang dua kali dari 11 perlawanan liga sejak dilantik menjadi jurulatih pada bulan Oktober, walaupun prestasi pasukannya lebih bagus pada pertukaran tahun.

Beliau memikirkan bagaimana keputusan perlawanan jika pemain barunya, Cesc Fabregas dapat diturunkan.

Fabregas tiba di Monaco dari Chelsea minggu lepas dan ada membuat penampilan sulung di Marseille pada hari Ahad.

Diperkenalkan kepada media pada awal Rabu lepas, beliau bagaimanapun tidak layak bermain untuk perlawanan ini kerana ia adalah perlawanan pada jadual asal bulan Disember (sebelum pasaran perpindahan pemain dibuka bulan ini) kerana penangguhan ekoran protes “vest kuning” di Perancis.

Pada perlawanan lain, Lyon memerlukan satu tendangan percuma lewat Nabil Fekir untuk mengikat Toulouse 2-2 di gelanggang lawan sementara Nimes menewaskan Nantes 1-0.

Tempoh buruk Marseille berlarutan apabila tewas 1-2 di Saint-Etienne walaupun membuka jaringan dalam separuh masa pertama menerusi gol Kevin Strootman.

Wahbi Khazri mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti sebelum menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum tamat permainan untuk melonjak Saint Etienne ke tangga ketiga liga. — AFP

Advertisement