Anda di sini

Pemodenan vesel lahir nelayan berpendapatan lumayan

Advertisement
 Sim (enam kanan) bersama tetamu dan pegawai kanan syarikat serta pembeli vesel bergambar kenangan berlatarbelakangkan kedua-dua vesel tersebut.
TERBAIK: Sim (enam kanan) bersama tetamu dan pegawai kanan syarikat serta pembeli vesel bergambar kenangan berlatarbelakangkan kedua-dua vesel tersebut.

MIRI: Nelayan di negara ini mampu memperolehi pendapatan lumayan melalui program pemodenan vesel yang akan menjadi titik perubahan dalam cara penangkapan ikan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin memberitahu, program pemodenan vesel juga memberi peluang kepada nelayan tempatan untuk menerokai laut dalam, sekali gus memperluas zon penangkapan ikan mereka.

“Di bawah program pemodenan vesel, ini, kementerian amat menggalakkan nelayan tempatan untuk sama-sama mengambil peluang menerokai aktiviti penangkapan ikan laut dalam kerana vesel serba moden ini direka khas untuk membawa mereka pergi lebih jauh dan memperolehi tangkapan lebih banyak, sekali gus ia akan memberikan tangkapan yang lumayan kepada mereka dan kita berhasrat agar semua bot nelayan sedia ada yang diperbuat daripada kayu ditukar kepada vesel moden ini sedikit demi sedikit,” tambahnya.

Vesel penangkapan ikan moden itu katanya, dibina mengikut 12 standard piawaian serta memenuhi syarat dan keperluan kebersihan atas vesel (HOB) bagi tujuan pengeksportan produk perikanan ke luar negara dan pensijilan bagi keselamatan makanan produk perikanan terutamanya ke negara-negara Eropah.

Vesel bernilai RM4 juta itu tambahnya lanjut, mampu memberi tangkapan lumayan dan yakin nelayan mampu untuk membayar balik dalam tempoh beberapa tahun kerana beberapa bank yang memberi kerjasama dengan program kementerian itu memberi jaminan untuk mengenakan kadar bunga rendah.

“Selain itu, vesel berkenaan yang dilengkapi peralatan menangkap ikan moden tidak memerlukan ramai nelayan atau anak kapal, cukup tiga orang sahaja mengendalikannya.

“Ini bermakna nelayan keuntungan akan meningkat kerana hendak membayar gaji anak kapal, khususnya nelayan asing bukannya kecil, sebaliknya dengan menggunakan tenaga tempatan beberapa orang sahaja sudah memadai,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Sim lagi, dengan pengurangan anak-anak kapal, ia secara perlahan-lahan akan membantu menghentikan penggunaan nelayan asing.

“Ini selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan tenaga kerja asing di negara ini dan industri perikanan melalui program ini sudah memulakan langkah ke arah usaha tersebut sedikit demi sedikit,” tambahnya.

Sim berada di Miri untuk lawatan kerja sehari bagi merasmikan dua vesel moden yang dibina Sarawak Slipways Sdn. Bhd. (Sarawak Slipways) di limbungan kapal milik syarikat itu di Krokop, semalam.

Tujuan lawatan itu juga bagi melihat vesel penangkapan ikan moden yang dibina Sarawak Slipways untuk syarikat BA Titan yang berpangkalan di Queensland, Australia, yang tertarik dengan kualiti vesel tersebut dan ciri-ciri moden yang ada pada harga yang berpatutan.  

“Ini menunjukkan bot-bot nelayan yang dihasilkan di negara ini boleh mencapai tahap dan standard yang menepati keperluan dan dikelengkapi peralatan moden sehingga mampu menarik minat nelayan atau ahli perniagaan asing, selain mempunyai gaya ala ‘resort’ yang boleh dijadikan serampang dua mata iaitu perikanan dan pelancongan,” tambah Sim lagi.

Di samping melakukan kerja-kerja menangkap ikan, rekaan menarik vesel itu juga membolehkannya membawa pelancong sama ada bersiar-siar di laut atau kaki pancing dalam dan luar negara untuk merancakkan aktiviti memancing, terutama laut dalam.

Sim juga yakin peralatan dan kelengkapan yang moden ini boleh menarik anak-anak muda untuk menceburi sektor perikanan kerana suatu hari kelak mereka pasti membuka mata dan mampu melihat bahawa sektor perikanan boleh membawa pulangan lumayan dengan kos munasabah.

“Terkini kementerian ini bersama 15 agensi kerajaan dan syarikat telah bekerjasama dalam program pemodenan ini, antaranya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Agrobank, MIDA, MIGHT, NEKMAT serta syarikat pembina vesel, pereka bentuk vesel dan pertubuhan yang memberi pengiktirafan (RO) dan juga pemilik premit yang menyokong sepenuhnya pemodenan vesel penangkapan ikan ini,” tambahnya.

Turut hadir mengiringi Sim ialah Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo, Pengarah Perikanan Sarawak Bohari Leng, Pegawai Perikanan Bahagian Miri Buniamin Kiprawi, Pengarah Urusan Sarawak Slipways Thomas Chew serta Pengarah Eksekutif Teknikal Roger Chew Pak Kan.

Sementara itu, Bob Instey, pemilik baharu kedua-dua vesel berkenaan yang juga nelayan moden dan usahawan mengakui berpuas hati dengan pembina dan hasil vesel berkenaan, sekali gus merancang untuk membeli dua lagi bagi menampung keperluan perikanan laut dalam syarikatnya.

  • oleh
  • Advertisement