Anda di sini

Kenapa buku teks BM Tingkatan 1 tidak senaraikan Sarawak sebagai pengeluar minyak?

Advertisement
Lina menunjukkan halaman buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 1 yang tidak menyatakan Sarawak sebagai negeri pengeluar minyak di Malaysia. Gambar sebelah kiri menunjukkan ruangan buku tersebut.
Lina menunjukkan halaman buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 1 yang tidak menyatakan Sarawak sebagai negeri pengeluar minyak di Malaysia. Gambar sebelah kiri menunjukkan ruangan buku tersebut.

KUCHING: Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 1 tidak menyenaraikan Sarawak sebagai negeri pengeluar minyak di Malaysia.

Kesilapan itu dikesan pada ruangan 'Perkasa ilmu, Tahukah anda?' pada muka surat 23 dalam buku setebal 236 muka surat.

Ruangan itu ditulis 'Negara pengeluar utama minyak dunia ialah Amerika Syarikat (13.7 peratus), Arab Saudi (11.9 peratus), dan Rusia (11 peratus). Malaysia juga merupakan antara negara pengeluar minyak dunia. Kawasan cari gali minyak di Malaysia terdapat di perairan Terengganu, Kelantan dan Sabah.'

Penulis buku tersebut tidak memasukkan Sarawak sebagai negeri pengeluar minyak dan gas dalam ruangan yang dimuatkan di muka surat terbabit.

Buku keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka dan dicetak pada 2016 itu ditulis Mardian Shah Omar, Solehah Mustafa dan Beseknorliana Remeng.  

Mengulas mengenainya, Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Lina Soo berkata, kesilapan itu adalah sukar untuk diterima.

Ia seolah-olah tidak menceritakan peranan sebenar Sarawak sebagai pengeluar minyak dan merupakan penyumbang terhadap pendapatan negara.

Menurut Lina yang juga seorang begitu vokal menyuarakan hak negeri ini, Sarawak menghasilkan minyak bernilai RM150 juta sehari.

Justeru, beliau meminta Kementerian Pendidikan dan Menterinya agar lebih prihatin tentang perkara yang diajar di sekolah.

Usaha untuk mendapatkan ulasan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung kesilapan, gagal.

Kerajaan Sarawak menerima royalti minyak dan gas lima peratus secara tahunan daripada kerajaan persekutuan.

Proses memohon agar kadar royalti itu dinaikkan kepada 20 peratus juga kini giat dibincang antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan.

Advertisement