Anda di sini

Industri tekstil Malaysia berpotensi bangkit kembali

Advertisement
 Schmidt menyampaikan ucapannya semasa Pameran Perdagangan Heimtextil di Frankfurt, Jerman baru-baru ini. — Gambar Bernama
ADA PELUANG CERAH: Schmidt menyampaikan ucapannya semasa Pameran Perdagangan Heimtextil di Frankfurt, Jerman baru-baru ini. — Gambar Bernama

FRANKFURT: Malaysia berpotensi meningkatkan eksport tekstil ke Amerika Syarikat (AS) berikutan perang perdagangan ekonomi utama itu dengan China.

Industri tekstil yang dianggap oleh beberapa pakar sebagai ‘industri senja, mula hilang daya tarikannya beberapa dekad lepas berikutan kos yang semakin meningkat serta persaingan sengit dari China, Bangladesh dan Vietnam.

Namun perang perdagangan AS-China yang berlarutan, mendorong beberapa pembeli dari Barat yang sebelum ini membeli tekstil China, mencari sumber alternatif, dengan Malaysia boleh memanfaatkan kedudukan itu.

Berbekalkan harapan untuk menghidupkan semula industri itu di Malaysia, serta banyak syarikat pembekal tekstil hiasan dan produk tekstil lain dari Asia Tenggara, merupakan antara peserta yang mengambil bahagian pada pameran perdagangan Heimtextil, pameran perdagangan terbesar bagi tekstil hiasan dan aksesori yang baharu berakhir.

Walaupun perubahan segera oleh pembeli dan pengimport yang mewakili syarikat dan firma utama Barat ke negara pembekal lain tidak dijangkakan berlaku, pertikaian semasa kedua-dua negara itu menyebabkan perdagangan di pameran Frankfurt dilihat sebagai ‘agak panik’.

“Saya yakin pembeli di Amerika Syarikat dan di tempat lain menyedari bahaya kebergantungan ke atas China sebagai sumber produk tekstil, selain banyak masalah yang dihadapi oleh pengimport asing di negara itu, termasuk kualiti dan khidmat selepas jualan.

“Selain itu, harga produk China juga sudah meningkat, susulan kos buruh dan pengeluaran yang semakin meningkat di negara itu, dengan perang perdagangan yang memburukkan lagi keadaan,” kata seorang pembeli dari AS yang enggan namanya disiarkan, kepada Bernama ketika ditemui pada pameran itu.

Beliau berkata Malaysia boleh bangkit dan memenuhi kekosongan itu jika syarikat AS memutuskan untuk meninggalkan China, memandangkan barangan Malaysia berkualiti tinggi walaupun harganya tinggi sedikit.

Sementara itu, pempamer Malaysia turut menyuarakan pandangan masing-masing mengenai perubahan senario perniagaan tekstil hiasan.

Pengarah pemasaran Fernex Sdn Bhd Lee Kheang Lim berkata syarikat itu menerima banyak pertanyaan daripada pembeli sedia ada dan baharu dari seluruh dunia, termasuk AS.

Wendy Tan, pengarah urusan Nature World Manufacturing Sdn Bhd, berkata syarikat itu yang mengeluarkan produk tekstil hiasan, turut menerima pelbagai pertanyaan.

“Pembeli menunjukkan minat mendalam ke atas produk berasaskan Tenaga Bio-Aktif kami, peningkatan itu mungkin disebabkan perang perdagangan semasa, dengan pembeli mahukan sumber bekalan altenatif,” katanya.

Dianjurkan oleh Messe Frankfurt, pameran Heimtextil berlangsung dari 7 hingga 10 Januari dan menyaksikan 3,025 pempamer dari 65 negara.

Olaf Schmidt, naib presiden Messe Frankfurt tekstil dan teknologi tekstil berkata terdapat peningkatan jumlah pembeli Amerika Syarikat pada pameran itu, yang memperlihatkan AS sedang mencari peluang di pasaran antarabangsa.

“Semua gedung besar AS ada di sini. Jelas, terdapat peralihan ke negara lain, dan berdasarkan masalah yang berlaku, kita akan mengetahui kedudukan sebenar dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” kata Schmidt.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada pembekal lain dapat menggantikan China sebagai pembekal tekstil terbesar di dunia yang memiliki infrastruktur pengilangan tekstil yang besar.

Schmidt yakin terhadap ASEAN, dengan Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh menjadi penggiat utama dalam rantaian bekalan tekstil global

“Saya juga percaya persaingan sengit antarabangsa akan memaksa para pembekal menaik taraf proses pengeluaran mereka, mengguna pakai automasi dan menghasilkan kaedah bekalan yang lebih cepat dan mudah. Inovasi teknologi adalah elemen penting untuk masa depan industri,” katanya.

Pameran tekstil itu menyaksikan penyertaan pempamer ASEAN termasuk Indonesia (lapan), Malaysia (tiga), Thailand (tiga) dan Vietnam (lapan).

Dua syarikat utama tekstil utama, China dan India, masing-masing menghantar 559 dan 394 peserta pameran, melebihi negara tuan rumah Jerman (301).

Menurut Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Frankfurt, Badrul Hisham Hilal, jumlah eksport tekstil, pakaian dan kasut Malaysia berjumlah RM13.69 bilion sepanjang Januari-November 2018.

AS merupakan pasaran terbesar produk berkenaan, dengan RM 1.78 bilion (13 peratus) daripada jumlah eksport. — Bernama

Advertisement