Anda di sini

Mudahkan urusan rakyat

Advertisement
AMIR (empat dari kiri), Azhar (tiga dari kiri) dan Rithuan (empat dari kanan) bersama ketua-ketua jabatan kerajaan yang menghadiri majlis perjumpaan itu.
AMIR (empat dari kiri), Azhar (tiga dari kiri) dan Rithuan (empat dari kanan) bersama ketua-ketua jabatan kerajaan yang menghadiri majlis perjumpaan itu.

LABUAN: Jabatan dan agensi kerajaan digesa agar mempermudahkan segala urusan dengan rakyat sekali gus mengurangkan birokrasi.

Pengerusi Perbadanan Labuan Dato’ Sri Haji Amir Haji Hussien juga mahu pegawai dan kakitangan kerajaan bersama-sama mengatasi dan memerangi gejala rasuah serta ketirisan di jabatan/agensi masing-masing.

Selain itu, beliau mengharapkan agar prestasi yang baik dan cemerlang itu dikekal dan dipertingkatkan demi memperkayakan lagi perkhidmatan awam di negara ini.

“Jabatan dan agensi kerajaan perlu memudahkan urusan rakyat sekali gus mengurangkan masalah birokrasi di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan ketua-ketua jabatan kerajaan dan agensi di Wilayah Persekutuan Labuan kali yang pertama bersama pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Datuk Azhar Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan Haji Rithuan Haji Ismail.

Selain untuk berkenalan dengan ketua jabatan kerajaan, perjumpaan itu diadakan untuk bagi kemajuan dan pembangunan Labuan serta mengukuhkan lagi institusi perkhidmatan awam yang ada.

Pada ketika ini, terdapat 92 jabatan dan agensi kerajaan di WP Labuan ini dengan bilangan penjawat awam seramai 10,041 orang keseluruhannya.

Sehubungan itu, Amir berharap agar penjawat awam mampu memberikan sokongan kepada pentadbiran dan aktiviti pembangunan untuk pulau ini.

“Selaku pengerusi Perbadanan Labuan, saya menggesa kepada semua ketua jabatan kerajaan dan agensi untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada yang telah lama terjalin,” katanya.

Beliau berharap semua jabatan kerajaan dan agensi berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk meningkatkan semula ekonomi di wilayah ini.

Pada sama sama, beliau mahu jabatan kerajaan bersama-sama Perbadanan Labuan menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau peranginan pelancongan yang terkenal di peringkat dunia.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar semua jabatan dan agensi untuk mengambil inisiatif mencipta produk pelancongan untuk diketengahkan.

Semua jabatan dan agensi kerajaan juga perlu berganding bahu dalam meningkatkan usaha bersama dalam membanteras gejala sosial, isu pendatang tanpa izin, pembinaan rumah haram dan lain-lain yang dikhuatiri semakin berleluasa sekiranya tiada agensi yang boleh memantau dan mengawal segala gejala itu.

Advertisement