Anda di sini

Ringgit berpotensi meningkat kepada 3.9 berbanding dolar AS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit berpotensi meningkat kepada 3.9 berbanding dolar AS tahun ini, melihat kepada kelemahan dolar AS dan harga minyak global yang kukuh, kata seorang penganalisa.

Rakan Pengurusan dan Penasihat MRR Consulting Sdn Bhd, Ooi Kok Hwa, berkata pemain pasaran secara amnya tidak menjangka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan meningkatkan kadar faedah tahun ini, yang menyebabkan dolar AS lemah dan memberikan peningkatan kepada ringgit.

“Tambahan lagi, aliran pada masa ini menunjukkan renminbi sedang mendapat momentum dan berkemungkinan akan terus meningkat, justeru memberi manfaat kepada ringgit, melihat kepada hubung kait yang positif kedua-dua mata wang ini,” katanya kepada Bernama pada Sabtu, selepas menyampaikan ceramah di ‘Simposium Propek Pasaran 2019: Pelaburan Pintar atau Pertaruhan Berani?’ di sini.

Simposium setengah hari itu dianjurkan Kenanga Investment Bank Bhd.

Ooi berkata, aliran meningkat harga minyak global juga dijangka menyediakan rangsangan kepada ringgit.

“Harga minyak pada masa ini dalam landasan pemulihan dan harus kekal dalam lingkungan AS$50-AS$60 setong, dengan pengeluar minyak mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran,” katanya.

Dari sudut lain pula katanya, ringgit yang meningkat akan memberikan masalah kepada pengeksport Malaysia memandangkan perolehan mereka dalam denominasi dolar AS akan menjadi lebih rendah dalam bentuk ringgit.

“Sebagai contoh, pengeluar sarung tangan akan mendapat kesan negatif memandangkan produk yang dikeluarkan di negara ini akan menjadi lebih mahal di pasaran dunia,” kata Ooi

Pada 9 Januari lalu, saham pengeluar sarung tangan seperti Top Glove Corporation Bhd, Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd dan Supermax Corp Bhd susut dengan ketara disebabkan ringgit yang meningkat dan harga minyak mentah yang tinggi.

“Bagi menangani situasi ini, syarikat ini perlu melindung nilai pendedahan mata wang asing mereka,” tambah Ooi. — Bernama

Advertisement