Anda di sini

Ringgit akan meneruskan momentum peningkatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum peningkatan minggu ini berikutan minat belian yang kukuh susulan sentimen global yang positif, kata seorang peniaga.

Katanya, peningkatan berterusan harga minyak di samping jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menunda pusingan pengetatan kadarnya pada 2019, akan memperbaiki minat pelabur dan merangsang permintaan.

“Minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed yang menurunkan kadar faedah juga mencetuskan kelemahan pada dolar AS yang memberikan kelebihan kepada ringgit.

“Sentimen semasa ringgit adalah positif. Dengan dolar AS yang menyusut, selain keyakinan bahawa AS dan China akan menamatkan ketegangan perdagangan mereka, ringgit akan terus meningkat,” katanya kepada Bernama.

Katanya, ringgit berkemungkinan akan meningkat antara 4.06 and 4.08.

Sementara itu, Ketua Perdagangan Asia Pasifik Oanda, Stephen Innes, menjangka ringgit didagangkan pada tahap 4.09, disokong oleh pasaran bon yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Malaysia akan menerbitkan bon Samurai tidak lama lagi (bon yang diterbitkan dalam denominasi yen di Tokyo oleh entiti bukan Jepun) dan wang tambahan itu dialu-alukan bagi merangsang tabung kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan bank yang berkenaan minggu ini bagi menguruskan jualan bon Samurai ¥200 bilion.

Asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.0940/0980 daripada 4.1340/1370 berbanding dolar AS.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0297/0338 daripada 3.0357/0395 dan meningkat berbanding pound British kepada 5.2203/2270 berbanding 5.2378/2432.

Berbanding yen Jepun, ringgit meningkat kepada 3.7785/7832 daripada 3.8260/8298 tetapi susut berbanding euro kepada 4.7155/7217 daripada 4.7144/7199. — Bernama

Advertisement