Anda di sini

Pasaran getah dijangka meningkat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami aliran meningkat minggu ini, berikutan keyakinan terhadap perbincangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang baharu berakhir Rabu lepas ditengah-tengah penurunan harga minyak, kata seorang peniaga.

Dilaporkan pegawai AS menjangkakan perunding perdagangan utama China mungkin melakukan lawatan ke Washington bulan ini, menandakan perbincangan peringkat lebih tinggi kemungkinan besar diadakan minggu depan, sekali gus akan menentukan hala tuju pasaran.

Harga minyak turun pada Jumaat berikutan kebimbangan terhadap ekonomi global yang diunjurkan suram, memadamkan kenaikan sebelum ini selepas Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengesahkan bank pusat AS akan bersabar dengan kenaikan selanjutnya kadar faedah, kata peniaga itu kepada Bernama.

Harga minyak cenderung mempengaruhi harga getah kerana naik turunnya akan menentukan harga dengan pesaing getah asli — getah sintetik.

“Niaga hadapan getah tempatan juga akan menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau, termasuk Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE),” katanya.

Pada Jumaat, SHFE ditutup lebih rendah berikutan pertumbuhan perlahan harga pengeluar bagi Disember 2018 di China dan Indeks Harga Pengeluar kurang memberangsangkan pada Disember yang naik 0.9 peratus berbanding setahun lepas.

Sementara itu, Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) akan ditutup pada Isnin bersempena sambutan  Hari Melangkah Ke Alam Dewasa.

Bagi minggu yang baharu berakhir, harga getah diniagakan bercampur-campur berikutan pelabur sedang menunggu butiran konkrit berhubung perbincangan perdagangan AS-China.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga pada tengah hari di Lembaga Getah Malaysia bagi tayar gred SMR 20 turun 1.5 sen kepada 557.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 7.5 sen kepada 399.50 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20 turun 13 sen kepada 554.00 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok tiga sen kepada 399.00 sen sekilogram. — Bernama

Advertisement