Anda di sini

SESB siasat pendahuluan RM64.33 juta dibayar kepada syarikat pegangan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga pengarah Scomi Energy Services Bhd (SESB) telah memulakan siasatan berhubung pendahuluan berjumlah RM64.33 juta dibayar kepada syarikat pegangannya, Scomi Group Bhd dan anak syarikatnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, SESB berkata pendahuluan itu dibayar dalam tempoh dua tahun dari Jun 2016 sehingga Jun 2018.

“Sebaik sahaja dimaklumkan (pada Mei 2018) bahawa pendahuluan itu telah dibayar tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan lembaga, pihak lembaga telah segera memulakan siasatan terhadap perkara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Oleh kerana siasatan sedang berjalan, lembaga dan jawatankuasa audit tidak dapat memberikan kenyataan berhubung sama ada pemberian pendahuluan itu adalah adil dan munasabah atau menjejaskan syarikat atau pemegang sahamnya,” kata SESB.

Syarikat berkata ia telah melantik firma guaman untuk menyemak transaksi itu, selepas laporan awal dikeluarkan pada November tahun lepas.

Berikutan laporan itu, lembaga telah mengusahakan bagi siasatan semakan transaksi yang akan dijalankan oleh firma audit bebas, katanya.

Katanya juruaudit akan menjalankan inkuiri sepenuhnya untuk mengenal pasti isu dan risiko yang timbul, dan selepas itu lembaga akan melaksanakan protokol tambahan untuk memantapkan tadbir urus korporat dan meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan pengurusan.

Sementara itu, syarikat itu berkata lembaga telah mengambil tindakan penambahbaikan dan pemulihan, termasuk menyemak semula struktur pengurusan dan menamatkan aturan berkongsi perkhidmatan antara syarikat dan Scomi Group, kecuali yang membabitkan fungsi kritikal tertentu.

Ia turut menyemak semula struktur pelaporan dan pendahuluan daripada pengurusan kepada lembaga, dan memastikan ketua pegawai kewangan dipertanggungjawabkan secara langsung kepada lembaga dalam melaporkan semua perkara penting, termasuk sebarang cadangan berkaitan pihak transaksi.

Scomi Group ialah syarikat pegangan pelaburan dan menyediakan perkhidmatan pengurusan kepada anak syarikatnya dan syarikat sekutu.

Ia ialah syarikat pegangan induk  SESB dan memegang 65.64 peratus saham terbitan dalam syarikat. — Bernama

Advertisement