Anda di sini

Setengah juta naik taraf Tamu Singsingon Pensiangan

Advertisement
SHAFIE (kiri) bersama Richard (kanan) melawat pameran produk buah-buahan tempatan selepas merasmikan Sambutan Ilau Panawari.
SHAFIE (kiri) bersama Richard (kanan) melawat pameran produk buah-buahan tempatan selepas merasmikan Sambutan Ilau Panawari.

PENSIANGAN: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk naik taraf kawasan tapak Tamu Singsingon di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, Kementerian Kewangan akan menyediakan dana sebanyak RM300,000 dan RM200,000 lagi diperuntukkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco).

Menurutnya, menerusi dana berkenaan, kawasan tapak tamu sedia ada akan dibesarkan bagi membantu lebih ramai peniaga tamu tempatan.

Katanya, kawasan tamu yang lebih besar menggalakkan lagi para peniaga menjual lebih banyak hasil tempatan termasuklah produk tanaman.

"Usaha ini menjadi landasan kepada peniaga tamu dalam memasarkan hasil tanaman mereka.

"Tiada maknanya tanaman yang banyak kalau hasil mereka tidak sampai ke pasaran dan pendapatan peniaga tidak dapat ditingkatkan.

"Kita mesti pastikan apa sahaja cara yang boleh dilaksanakan dalam membantu orang-orang kampung di kawasan pedalaman," katanya.

Shafie mengumumkan peruntukan itu ketika berucap merasmikan Sambutan Ilau Panawari Peringkat Daerah Pensiangan 2019 di sini pada Sabtu.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 sebagai langkah penyelesaian jangka pendek untuk membaiki pam air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut Pensiangan.

"Saya akan mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) supaya memantau masalah bekalan air di sekolah ini.

"Tapi untuk penyelesaian jangka panjang, kita kena lihat semula bekalan air dan elektrik bagi memastikan keupayaan kerajaan dalam membekalkan kemudahan ke pusat yang ada kepentingan awam seperti sekolah ini," jelasnya.

Berhubung cadangan menjadikan Sapulut sebagai sebuah daerah kecil, beliau akan meneliti perkara itu dengan melihat aspek kapasiti dan kerangka yang berkepentingan.

Shafie berkata, perincian berkaitan akan dilihat secara mendalam dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan Pusat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan supaya meneliti rancangan menaik taraf jalan raya di kawasan berkenaan.

Katanya, lima jalan utama yang memerlukan penambahbaikan termasuklah Jalan Pegalungan, Salung, Pensiangan, Pangaraan, dan Ponotomon.

Selain itu, Shafie turut mahu perayaan Ilau Panawari diteruskan penganjurannya setiap tahun agar tidak tenggelam dan lebih dikenali.

Sambutan seumpama itu jelasnya, bukan hanya saling menerapkan budaya dalam kalangan masyarakat Murut, malah mampu dijadikan sebagai produk pelancongan terkenal.

Turut hadir, Penaung Program Ilau Panawari yang juga Pengerusi Sedco Datuk Dr. Richard Sakian Gunting.
 

  • oleh
  • Advertisement