Anda di sini

Rogol gadis bawah umur: Jurulatih ketahui nasib 24 Januari

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Jurulatih Taekwondo yang didakwa merogol seorang gadis bawah umur, akan mengetahui nasibnya pada 24 Januari depan, di Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Azreena Aziz menetapkan tarikh itu bagi menunggu pembetulan fakta kes, seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap Dinesh Ganabathy, 20, selepas mendengar laporan sosial dibacakan.

Pada 14 November tahun lepas, Dinesh mengaku bersalah selepas pihak pendakwaan membawa tiga orang saksi tampil membuat pengakuan ketika perbicaraan terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 15 tahun pada 3 Disember 2017 jam 9 malam di Pusat Latihan Taekwondo, daerah Beaufort di sini.

Untuk itu, dia didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan sosial, Dinesh berasal dari Kluang, Johor itu dikatakan seorang anak lelaki yang taat kepada orang tuanya dan memberi kerjasama baik ketika temubual dijalankan bersama pegawai kebajikan.

Dia dikatakan tidak dapat melanjutkan pengajian dan hanya berjaya menamatkan Sijil Pelajaran Menengah (SPM) disebabkan kekangan ekonomi keluarga, lebih- lebih lagi selepas ayahnya meninggal dunia.

Anak sulung dari dua adik beradik itu juga sering membantu ibunya berjual di gerai kecil berhampiran rumah mereka dekat Johor.

Pada 2017, dia kemudian dihantar ke Beaufort, selepas berjaya lulus menjalani kursus jurulatih seni mempertahankan diri dan menjadi sumber utama pendapatan keluarga.

Ketika prosiding dijalankan, Dinesh mendakwa baru mengenali mangsa dan mendakwa mangsa sering mengekorinya setiap kali latihan kejohanan berlangsung.

Dari situ, dia mendakwa mangsa tidak pernah bersekolah dan cuba menggodanya sehingga membawa kepada hubungan seksual.

Selain itu, dia menafikan beberapa fakta yang yang dibacakan terhadapnya berkaitan memaksa mangsa menanggalkan pakaian dan tidak mengendahkan permintaan mangsa untuk berhenti melakukan seksual terbabit.

Justeru, mahkamah memutuskan untuk menangguhkan prosiding pada tarikh baharu bagi memperbetulkan fakta dan menetapkan hukuman setimpal terhadapnya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dinesh, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Bela Ram Singh dan Kimberly Ye.

  • oleh
  • Advertisement