Anda di sini

Polis bertindak lebih agresif banteras pemilikan bakakuk

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan terus meningkatkan tindakan agresif untuk membanteras pemilikan secara haram senjata api buatan sendiri jenis bakakuk di negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata tindakan lebih agresif terus diambil bagi membendung pelbagai kes jenayah atau kematian akibat kecuaian yang berkaitan dengan penggunaan senjata berkenaan.

“Pemilikan atau penyimpanan bakakuk adalah haram kerana tidak dilesenkan dan pemiliknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. Oleh itu kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya segera membuat laporan di balai polis terdekat,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas pihaknya telah merampas sebanyak 34 laras bakakuk dan menahan seramai 56 individu kerana dipercayai terlibat dengan kes senjata api haram berkenaan.

Omar berkata siasatan mendapati individu yang memiliki bakakuk memperoleh senjata api tersebut daripada orang tengah dan ada yang membuat sendiri senjata api haram berkenaan.

Sementara itu, Omar berkata kadar indeks jenayah di Sabah menurun kepada 6,059 kes pada tahun lepas berbanding 6,150 kes pada tahun 2017.

“Penurunan indeks jenayah itu adalah hasil kerja keras pegawai dan anggota di seluruh Sabah dan kerjasama kuat daripada orang awam... kami akan terus berusaha meningkatkan lagi prestasi di masa-masa akan datang,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kes culik tiga nelayan, di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, Disember tahun lepas, Omar berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

Pada 6 Dis lalu, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, Jari Abdullah, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mereka, sebelum mereka disahkan diculik dan kini berada di suatu tempat di Filipina. — Bernama

Advertisement