Anda di sini

GPS ikrar pertahan hak

Advertisement
 Abang Johari (tiga kiri) memperkenalkan logo rasmi GPS di Ibu Pejabat PBB, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kanan), Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian (tiga kanan), Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing (dua kiri) dan Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Salang serta pemimpin lain.
LOGO RASMI: Abang Johari (tiga kiri) memperkenalkan logo rasmi GPS di Ibu Pejabat PBB, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kanan), Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian (tiga kanan), Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing (dua kiri) dan Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Salang serta pemimpin lain.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertahankan hak-hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, GPS juga akan memberi keadilan kepada semua masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini.

“GPS juga akan meneruskan usaha membangunkan Sarawak dalam era baharu, dengan menambah nilai-nilai hidup, nilai-nilai suci dan nilai-nilai ekonomi yang terdapat di Bumi Kenyalang ini.

“Kepada semua komponen parti, barisan pemimpin dan ahli-ahli GPS, marilah kita bergerak bersama mempertahankan Bumi Kenyalang yang bertuah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Memperkenalkan Logo dan Lagu GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi GPS mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GPS yang dihadiri Presiden dan Timbalan Presiden serta wakil parti komponen GPS iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, semalam merupakan hari yang amat bersejarah dalam politik Sarawak kerana satu gabungan parti berasaskan anak-anak Sarawak telah ditubuhkan secara rasminya.

Menurutnya, gabungan parti itu akan memimpin dan seterusnya memberi hala tuju bagi kepentingan anak-anak Sarawak dalam gagasan persekutuan Malaysia.

“Hari ini (semalam) kita memperkenalkan logo GPS yang merupakan burung kenyalang, haiwan yang dilindungi oleh Sarawak, maka kita akan sentiasa mempertahankan burung kenyalang ini.

“Ia ada makna, warna merah melambangkan kedaulatan perlembagaan persekutuan dan negeri, keluhuran perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan Sarawak.

“Keduanya, warna putih memberi makna keadilan dan kesaksamaan serta kedaulatan undang-undang, keadilan yang berasaskan peruntukan undang-undang, harus dihormati. Hitam pula melambangkan tunjang kekuatan GPS,” jelasnya.

Tambahnya, ketiga-tiga warna itu, merah, hitam dan putih memberi makna GPS adalah gabungan yang akan mempertahankan Sarawak daripada sudut hak-haknya mengikut MA63, Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak.

Abang Johari turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan persekutuan kerana meluluskan permohonan pendaftaran GPS sebagai entiti politik di Sarawak.

GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun 2018 terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP selepas empat parti itu keluar Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei 2018.

Pada 19 November 2018, Muhyiddin mengumumkan kelulusan pendaftaran GPS di Dewan Rakyat.

GPS yang sepatutnya dilancarkan pada Julai 2018 terpaksa ditangguhkan kerana menunggu surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, ditanya mengenai isu cukai pelancongan dan pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan pusat, beliau mahu supaya debat mengenai perkara itu dihentikan.

Tegasnya, kenyataan rasmi mengenai pinjaman kerajaan pusat kepada Sarawak telah dibuat, begitu juga dengan isu agihan 50 peratus cukai pelancongan kepada negeri ini dan mahu perkara itu diselesaikan secara baik.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Wanita GPS Dato Sri Fatimah Abdullah.

  • oleh
  • Advertisement