Anda di sini

Anugerah Televisyen Asia ke-23, bermula Jumaat ini

Advertisement
CHENG REXEN
CHENG REXEN

KUCHING: Tinggal beberapa hari sahaja lagi, barisan calon tersohor Asia untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik seperti Cheng Rexen dalam ‘Schrodinger’s Cat’ dan Jirayu Tantrakul dalam ‘Kom Faek (The Lost Art)’; serta calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Kim Nam Joo dalam ‘Misty’ dan Sinjai Plengpanich dalam ‘Sri Ayodhaya’ akan berjalan di atas karpet merah di Anugerah Televisyen Asia ke-23.

Anugerah berprestij itu akan diadakan bermula 11 sehingga 13 Januari bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, sebanyak 42 kategori akan dipertandingkan sempena ATA kali ini yang diadakan bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam penghasilan dan prestasi keseluruhan sesebuah karya.

Barisan panel yang terdiri daripada 50 juri terbaik di rantau Asia telah dipilih berdasarkan kepakaran mereka.

Pelbagai syarikat penyiar termasuk stesen TV bebas-ke-udara, platform ‘pay-tv’, perkhidmatan penstriman digital serta studio produksi pengeluaran bebas di Asia telah menyertai edisi kali ini.

WINNIE K
WINNIE K

Senarai selebriti terkemuka lain yang akan berjalan di atas karpet merah pada malam perhargaan itu termasuk Maylada Susri dan Ananda Everingham dari Thailand.

Artis berbakat besar serta pemenang beberapa anugerah berprestij, Winnie K juga akan menghiburkan penonton dengan persembahannnya.

Beliau telah dinobatkan sebagai Juara Asia Bagus pada usia yang muda di Singapura dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Tokyo, Jepun.

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, ATA akan dihoskan oleh penyanyi dan pengacara terkenal Wallace Ang, bekas VJ MTV Asia, May Wan dan Choy Wan serta Adrian Jalaludin yang telah bertapak dalam industri hiburan Malaysia selama lebih dari satu dekad sebagai pengacara TV dalam bidang sukan, pengembaraan dan rancangan bual bicara.

Mereka juga akan berganding bersama Mark Zambrano yang merupakan seorang penyampai berita kanan atau Koresponden Sukan untuk Berita Filipina dan Hal Ehwal Awam Filipina.

Acara gemilang ATA ke-23 akan turut dihadiri Danchen Yan dari China dan Larissa Ping yang juga merupakan Duta Perlancongan Sarawak dari Kuching untuk memeriahkan malam penghargaan tersebut.

DANCHEN YAN
DANCHEN YAN

Danchen Yan tersohor dengan lakonan hebatnya dalam ‘Hutong Days’ (2008), ‘I am Chinese’ (2012) dan ‘The Four Cupids’ (2010).

Edisi ke-23 ATA akan diadakan di Kuching, Sarawak sebagai salah satu inisiatif untuk menyokong kempen ‘Tahun Melawat Sarawak 2019’ yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

“Kehadiran selebriti tersohor di upacara ini merupakan langkah yang baik untuk mengembangkan industri eko-pelancongan di Sarawak, yang juga dikenali sebagai ‘Green Heaven of Southeast Asia’,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah.

Pihak penganjur ATA telah mengumumkan senarai finalis bagi setiap kategori di platform media sosialnya dan laman web rasmi https://www.asiantvawards.com/ .

Peserta ATA terdahulu merangkumi 200 saluran di seluruh Asia seperti KBS, NHK, HBO, CNN, Bloomberg, BBC, AL-JAZEERA, TV18, Discovery Networks, Imagine Group, Viacom International Media Networks, Astro, Media Prima, Pt Televisi Indonesia, Mediacorpp, CGTN, PCCW, Formosa, ABS-CBN, BBTV, SMG dan lain-lain lagi.

Untuk maklumat terkini, sila ikuti @Asiantvawards.

Advertisement