Anda di sini

JKM Kelantan hasil ‘shower trolley’

Advertisement
 Said (dua kanan) melihat ‘Shower Trolley’ untuk kegunaan khas memandikan pesakit yang terlantar dan kurang upaya pada Majlis Apresiasi Inovasi Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin 2018 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama
KREATIF: Said (dua kanan) melihat ‘Shower Trolley’ untuk kegunaan khas memandikan pesakit yang terlantar dan kurang upaya pada Majlis Apresiasi Inovasi Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin 2018 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Simpati dengan kepayahan yang dialami kalangan warga emas yang terlantar untuk mandi memberikan idea kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan di sini dalam menghasilkan sebuah produk inovasi.

Pengarahnya Said Sidup berkata cetusan idea dan kreativiti daripada lapan kakitangan Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin (RSKTK) yang diketuai oleh Mohd Zuhairy Mustapa itu bukan sahaja bersifat mesra pengguna malah turut dilengkapi dengan kemudahan lain.

“Berbeza dengan produk yang ada di pasaran, ‘shower trolley’ yang kami hasilkan dilengkapi dengan kotak linen, ‘roller bar’ boleh laras serta tangki untuk air keluar dan masuk seterusnya memudahkan urusan petugas untuk memandikan orang terlantar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Rumah Seri Kenangan di Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin di sini semalam.

Inovasi tersebut telah memenangi Pingat Emas dalam Pertandingan Kreativiti, Inovasi dan Teknologi (KRISTEK’18) yang dianjurkan oleh Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu pada Oktober lepas.

Menurut Said, shower trolley ini juga dapat mengurangkan risiko kecederaan tulang belakang kepada petugas.

“Dengan menggunakan postur badan yang betul, ia dapat menghindarkan petugas daripada terkena penyakit tulang belakang apabila memindahkan orang terlantar untuk mandi,” katanya.

Said berkata, produk ini akan digunakan sepenuhnya di RSKTK mulai tahun ini yang dapat dimanfaatkan oleh seramai 20 warga emas yang terlantar di sini.

“Ia juga dalam perancangan untuk dipatenkan dan dipasarkan jika ada permintaan selain dapat menjana pendapatan kepada JKM di negeri ini,” katanya. — Bernama

Advertisement