Anda di sini

Mangsa culik minta tolong dalam rakaman video

Advertisement
RAKAMAN diambil daripada paparan video menunjukkan Samsul menangis meminta pertolongan kepada majikannya.
RAKAMAN diambil daripada paparan video menunjukkan Samsul menangis meminta pertolongan kepada majikannya.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf di Perairan Pulau Gaya Semporna 11 September tahun lalu dilihat menangis dan berteriak meminta pertolongan dalam satu rakaman video.

Dalam video terbabit mangsa dipercayai Samsul Sangunin dilihat dalam keadaan melutut dan digari merayu mengatakan 'tolong saya boss, tolong saya boss, tolong saya...' beberapa kali.

Video yang didakwa daripada kumpulan penculik Abu Sayaff dihantar kepada pemilik bot dengan tujuan menuntut wang tebusan agar mangsa dibebaskan.

Sumber bagaimanapun mengatakan belum ada sebarang pengesahan berkenaan video terbabit dan pihak berkuasa termasuk pasukan polis masih menjalankan siasatan rapi bersama rakan sejawat di negara jiran.

Samsul bersama seorang lagi rakannya yang juga anak kapal warga Indonesia Usman Yusof, 30 diculik kumpulan penjenayah selepas serangan tembakan di Perairan Pulau Gaya Semporna pada 11 September tahun lalu.

Usman bagaimanapun berjaya melarikan diri daripada kumpulan penculik terbabit pada 5 Disember sebelum pulang ke pangkuan keluarganya di Indonesia.

Difahamkan Samsul kini dalam tahanan culik bersama tiga lagi mangsa lain yang diculik di perairan Pegasus Reef Kinabatangan awal Disember tahun lalu.

Kumpulan penculik itu turut didakwa meminta wang tebusan sebanyak 4 juta peso bersamaan RM400,000 bagi membebaskan mangsa culik terbabit.

  • oleh
  • Advertisement