Anda di sini

Ringgit dijangka diniagakan dalam keadaan berhati-hati

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam keadaan berhati-hati pada minggu pertama dagangan 2019 memandangkan pelabur masih bergelut dengan faktor risiko geopolitik yang mempengaruhi sentimen global, kata penganalisis.

Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata perkembangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan, ketidaktentuan berkaitan Brexit, peningkatan risiko politik di Eropah, kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang perlahan dan penutupan separa kerajaan AS telah menunjukkan kesediaan pelabur menghindari risiko.

“Melihat kepada pelabur menghindari aset berisiko ketika keadaan pasaran tidak menggalakkan, aset selamat seperti emas dan yen Jepun akan mendapat permintaan tinggi.

“Kebimbangan mengenai ekonomi AS perlahan pada 2019 akan terus memberi ancaman kepada status mata wang selamat dolar AS manakala ketidaktentuan Brexit dijangka mengehadkan kenaikan pound Britain,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat domestik, pelabur akan menumpukan kepada laporan Indeks Harga Pengeluar dan bekalan wang secara meluas (M3) bagi November yang dijadual dikeluarkan pada 31 Dis ini.

“Selain itu perhatian juga diberikan kepada laporan Indeks Pengurus Pembelian Nikkei pada 2 Jan, 2019, yang sewajarnya menyediakan petunjuk baharu mengenai kedudukan sektor pembuatan Malaysia bagi bulan terakhir 2018.

“Sementara itu, dengan data perdagangan terkini yang dijadual dikeluarkan pada 4 Jan ini juga, minggu depan pastinya menjadi minggu dagangan yang penuh dengan pengumuman menarik bagi ringgit,” katanya.

Walaupun mata wang tempatan mempunyai asas untuk meningkat ketika data ekonomi domestik positif, namun beliau berkata prospek ringgit kekal dipengaruhi faktor luaran seperti perkembangan perdagangan global dan prestasi dolar AS.

Pasaran akan ditutup pada Selasa sempena cuti Tahun Baharu 2019.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding dolar AS dengan sentimen pasaran didorong harga minyak mentah dan penutupan separa kerajaan AS.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1500/1550 daripada 4.1790/ 1830 berbanding dolar AS minggu sebelumnya.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0336/0384 daripada 3.0490/0531 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2468/2548 berbanding 5.2919/2986.

Berbanding euro, ringgit kukuh pada 4.7488/7550 daripada 4.7758/7808 namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.7597/7653 daripada 3.7588/7634 minggu sebelumnya. — Bernama

Advertisement