Anda di sini

Kerajaan perlu gubal pelan ekonomi baharu, kata pakar

Advertisement
 Noor Azlan ketika sidang media terakhir sebelum menamatkan kerjaya sebagai Naib Canselor UKM di Bangunan Canselori UKM semalam. — Gambar Bernama
PELAN KOMPREHENSIF: Noor Azlan ketika sidang media terakhir sebelum menamatkan kerjaya sebagai Naib Canselor UKM di Bangunan Canselori UKM semalam. — Gambar Bernama

BANGI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menggubal kerangka atau pelan ekonomi baharu bagi menentukan hala tuju pembangunan negara, kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Pakar ekonomi itu berkata sebagai negara yang kecil dan terbuka, Malaysia memerlukan pelan komprehensif yang lebih besar untuk meneruskan pembangunan dalam suasana ekonomi dunia yang bersifat VUCA (mudah berubah, tidak menentu, kompleks dan kabur) ketika ini.

Kali terakhir kerajaan memperkenalkan polisi bagi memacu ekonomi negara ialah pada 2010 melalui Model Baru Ekonomi (MBE).

“Kita perlu pelan baharu kerana ketika ini kita tidak tahu pelan tindakan mana yang dirujuk. Kalau ada pelan baharu, mudah untuk semua pihak industri hendak tumpu kepada sektor mana.

“Dari segi sumber manusia contohnya, sektor yang manakah yang perlu menerima fokus universiti bagi membangunkan program baharu dan sebagainya,” katanya pada sidang media terakhirnya sebagai Naib Canselor UKM, di sini semalam.

Noor Azlan berkata kerajaan juga perlu mengatasi isu pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata antara negeri-negeri yang menyebabkan purata pendapatan isi rumah di sembilan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, lebih rendah berbanding purata pendapatan isi rumah Malaysia.

“Ini bermakna 54 peratus penduduk Malaysia berada di bawah garis purata pendapatan isi rumah negara. Sebab itu apabila kita pergi ke beberapa negeri, mereka menyatakan tidak merasai pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Oleh itu, kerajaan perlu membentuk pelan baharu supaya pertumbuhan ekonomi menjadi lebih setara, menyebar dan sampai kepada semua pelusuk negeri.

Selain itu, Noor Azlan berkata kerajaan juga perlu memberi lebih tumpuan kepada pengeluaran produk bernilai tinggi yang lebih sofistikated atau berteknologi tinggi seperti yang dilaksanakan di Korea Selatan.

“Antara 1990 hingga 2010, Korea Selatan telah beralih daripada memberi tumpuan kepada produk seperti pakaian kepada pengeluaran produk berteknologi tinggi,” katanya.

Noor Azlan bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UKM pada 31 Dis ini selepas menerajui universiti itu selama dua penggal sejak Januari 2014. Beliau akan digantikan oleh Bekas Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor. — Bernama

Advertisement