Anda di sini

EXPOAM sampaikan sumbangan kepada waris ahli yang meninggal dunia

Advertisement
 Abdillah menyampaikan sumbangan kepada Hazemi.
MERINGANKAN BEBAN: Abdillah menyampaikan sumbangan kepada Hazemi.

ROMBONGAN EXPOAM Sarawak Isnin lepas telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Dinel Keli yang telah meninggal dunia Jumaat lepas.

Rombongan EXPOAM diketuai  setiausahanya, Mohd Poasa Sahar bersama pegawai penerangan Mohamat Yusuf, Abang Abdillah Abg Kassim(kebajikan), Bujang Narawi (AJK) menyampaikan sumbangan berkenaan di rumah Allahyarham Dinel di kampung Pulo Hilir, Kuching.

Sumbangan disampaikan oleh Abang Abdillah kepada Hazemi anak sulong kepada Allahyarham. Turut hadir anak-anak Allahyarham iaitu Safinah dan Jamaliah.

Mohd Poasa berharap sumbangan sebanyak RM800 itu akan dapat membantu menampung kekurangan sewaktu mangadakan majlis tahlil yang diadakan keluarga Allahyarham.

Mengenai Allahyarham, beliau berkata Allahyarham sejak bertugas sentiasa mengikut arahan hinggalah apabila menjadi ahli EXPOAM seperti ahli lain, Dinel sentiasa hadir terutama ketika mesyuarat tahunan dan mesyuarat agung yang diadakan persatuan.

“Kita berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang beriman,” ujarnya.  

Mereka mengambil masa kira-kira setengah jam berbual bersama anak-anak Allahyarham dan bercerita mengenai Dinel sewaktu berada di ICU Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Bapa hanya batuk sahaja sebelum dirawat di HUS.

“Doktor yang juga keluarga kita minta bapa ditempatkan di ICU untuk memudahkan pihak doktor membuat rawatan,” ujar Hazemi.

Allahyarham Dinel telah dirawat di hospital berkenaan selama lebih 50 hari hingggalah dia menghembus nafasnya yang terakhir.

Menurut anaknya lagi, ayah mereka sibuk sejak ibu mereka meninggal dunia serta mendalami lagi bacaan al-Quran di samping mengajar mereka membaca al-Quran.

Bekas koperal penjara itu juga seorang yang peramah, mesra serta disegani kawan-kawan dan jiran-jiran.

Pada hari yang sama rakan yang sama belajar kelas al-Quran dengannya turut datang menghantar sumbangan daripada rakan-rakan yang lain.

Sumbangan itu diserahkan oleh ketua pelajar Abdul Rahman kepada Hazemi sambil disaksikan oleh mereka yang hadir.

Abdul Rahman memaklumkan dia tidak mengetahui Allahyarham sakit dan hanya mengetahui Allahyarham tinggal bersama anaknya yang lain, di luar atau di Semananjung.

“Kalau saya tahu memang saya akan datang menziaharinya. Allahyarham seorang yang cepat mesra bersama kawan-kawan sama belajar dan sentiasa bertanya kepada guru sekiranya tidak faham,” ujarnya.

Advertisement