Anda di sini

Misi kemanusiaan Natal di Magandai serlah harapan etnik Sonsogon

Advertisement
SAAT mencemaskan mengharungi arus Sungai Magandai ditarik dengan tali.
SAAT mencemaskan mengharungi arus Sungai Magandai ditarik dengan tali.

KOTA MARUDU: Kisah perjalanan luar biasa dalam kembara wira dan wirawati Warisan Kota Marudu ke Kg Sungai Magandai 22 Disember lalu umpama satu mimpi ngeri dengan pengalaman ekstreme bagi mereka yang buat pertama kali menaiki kereta pacuan empat roda menyusuri jalan balak berlumpur dan mengharungi sungai dalam dan deras.

Rombongan 32 orang diketuai Ketua Wira Warisan Kota Marudu Francis Au Sin Tong beserta Ketua Wirawati Suzie Salapan melewati perjalanan mencabar itu dalam misi kemanusiaan ke kampung yang terletak kira-kira 50km sempena sambutan Natal.

“Misi menghantar bantuan makanan, pakaian dan janakuasa elektrik pada hari pertama agak lancar di mana konvoi sembilan kenderaan termasuk sebuah kenderaan sokongan 4WD Goshen Adventis yang dipandu Johnny Lee dengan mudah melewati jalan balak sejauh 28km yang bermula dari Kg Samparita,” kata wartawan lokasi, Benjohn Simbaku yang menjadi media pengiring konvoi berkenaan.

Namun menjelang hari kedua, cuaca bertukar dengan cepat kerana hujan lebat hingga ke pagi menyebabkan Sungai Magandai naik ke paras berbahaya memaksa konvoi menunda masa menyeberangi sungai menunggu surut.

“Rombongan menginap sehingga dua malam di SK Samparita atas ihsan Guru Penolong Kanan Joinin Jabil dengan harapan setiap esoknya sungai surut kerana menurut penduduk paras sungai segera surut jika tidak berlaku hujan di ulu,” kata Benjohn.

Menurutnya keadaan di Samparita masih selesa dengan bekalan elektrik 24 jam dari kuasa solar dan air paip graviti.

Memasuki hari kedua, rombongan konvoi siap memulakan penyeberangan seawal 4.00 pagi namun ditunda ekoran air sungai belum surut.

Demi mengisi waktu sementara menunggu sungai surut, pelbagai aktiviti diadakan oleh kalangan wira dan wirawati seperti memainkan alat muzik dan menyanyi bersama di samping menenangkan kerisauan.

Memasuki hari ketiga cuaca agak cerah dan konvoi diketuai Johnny Lee mendahului perjalanan 3km ke tebing sungai melewati jambatan dan bekas jalan balak yang runtuh.

“Konvoi yang dilengkapi mekanik dan peralatan telah memperbaiki jambatan kayu bulat,” katanya sambil menambah jarak 3km ditempuh lebih tiga jam untuk sampai ke tebing sungai ekoran banyak masa digunakan memperbaiki jambatan.

Berbekal pengalaman Johnny di Cabaran Borneo Safari di Tagaroh, enam kenderaan lasak berjaya menyeberangi sungai manakala dua lagi ditinggalkan tanpa menyeberang kerana kekurangan peralatan mengharungi sungai.

Rata-rata anggota wirawati menyertai konvoi itu buat pertama kali dan menyifatkannya sebagai kembara yang sukar dilupakan.

Manakala Francis yang juga Setiausaha Sulit Ketua Menteri menyifatkan kejayaan misi rombongan itu pergi dan balik sebagai memiliki hikmah tersendiri untuk mendidik diri menjadi gigih, sabar, setiakawan dan tidak mudah panik.

Paling tidak dilupakan ialah pengalaman pemandu 4WD dari Keningau, Mohamad Razmi yang mana keretanya tiba-tiba mati di pertengahan menyeberang sungai bersama enam penumpang dan hampir dihanyutkan arus deras.

“Secepat kilat tenaga mahir dalam konvoi melemparkan tali namun air mulai masuk ke dalam kereta menyebabkan penumpang wanita ketakutan, menggigil, berteriak dan menangis,” kata Benjohn.

Menurut Benjohn kembara ekstrem dengan peristiwa kenderaan mati di pertengahan penyeberangan yang dimuat naik ke youtube menunjukkan hampir 10 ribu tontonan dalam beberapa hari.

“Ini menunjukkan betapa ramainya orang teruja dan prihatin atas keadaan terpencil yang memerlukan perhatian kerajaan,” katanya.

ANTARA cabaran lasak melalui jalan runtuh berair.
ANTARA cabaran lasak melalui jalan runtuh berair.

Pemaju Mukim Tandek Ruddi Aloi yang turut serta dalam konvoi itu menyatakan maklumat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) menunjukkan pembinaan jalan di antara Samparita dan tujuh buah kampung di Sonsogon Magandai telah diluluskan Perdana Menteri lalu dengan peruntukan RM120 juta namun projek itu tidak pernah dimulakan.

“Kita berharap pihak berkuasa dapat meneruskan projek yang sudah diluluskan itu untuk memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk sekali gus mengubah sosioekonomi suku kaum Sonsogon,” kata Ruddi.

Mudin Wis, penduduk dari kawasan berkenaan menceritakan ketiadaan jalan raya di mukim itu menyebabkan penduduk berjalan kaki selama 3-4 hari atau menyewa kenderaan pacuan empat roda dengan kos RM800 hingga RM1000 khususnya ketika hujan.

Konvoi bersyukur kerana berjaya mengabadikan misi kemanusiaan Natal ke Kg Magandai di mana misi itu terserlah di wajah-wajah penduduk sebagai satu coretan memori yang tidak terlupakan.

  • oleh
  • Advertisement