Anda di sini

Toleransi antara kaum khazanah bernilai: Tun Juhar

Advertisement
JUHAR ketika menyampaikan Perutusan Perayaan Hari Krismas 2018 di Istana Negeri.
JUHAR ketika menyampaikan Perutusan Perayaan Hari Krismas 2018 di Istana Negeri.

KOTA KINABALU: Toleransi antara kaum dan agama di negeri ini merupakan khazanah paling bernilai dan menjadi kebanggaan yang perlu terus disemarakkan.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dalam Perutusan Perayaan Hari Krismas 2018 menggesa rakyat agar sentiasa bijak menangani isu keharmonian kaum yang cuba dibawa oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, sebagai warganegara yang cintakan kedamaian, rakyat memiliki tanggungjawab menyekat sebarang propanganda yang berbaur hasutan dan memburuk-burukkan kepercayaan serta agama penganut lain sehingga mengakibatkan terjadinya persengketaan.

Justeru, menurutnya, sempena menyambut Perayaan Hari Krismas, rakyat harus mengambil kesempatan memperkukuhkan perpaduan, saling bertukar-tukar ucapan selamat dan kunjungan dalam kalangan keluarga dan sahabat handai.

"Melalui sikap sentiasa bersedia menerima antara satu sama lain, menghormati adat dan budaya orang lain, kita dapat merayakan sambutan Krismas dengan lebih bermakna dan meriah.

"Ketika sambutan Krismas ini juga, suka saya mengingatkan kepada seluruh rakyat jelata agar sentiasa berhati-hati dari segi keselamatan sama ada keselamatan diri dalam perjalanan bercuti, mengunjungi rumah terbuka mahupun dari segi perbelanjaan. 

"Rancanglah perbelanjaan dengan sebaiknya serta berhemah demi kepentingan persekolahan anak-anak dan perbelanjaan keluarga supaya Krismas dapat diraikan dengan meriah dalam kesederhanaan," ujarnya.

Di samping itu, sempena memasuki tahun baharu 2019, Juhar dalam perutusannya turut menggesa rakyat menanamkan sikap positif dan menggalas tanggungjawab membangun serta mempertahankan keharmonian supaya dapat melakar lebih banyak kejayaan.

"Penghujung tahun 2018 dan permulaan tahun 2019 adalah tempoh sesuai untuk menganalisa pencapaian lalu, membulatkan tekad untuk terus mencapai kejayaan lebuh gemilang," tambah beliau.

Juhar turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang komited menjalankan tugas biarpun terpaksa berjauhan dari keluarga ketika perayaan Krismas. 

Beliau juga menyeru agar rakyat bersama-sama berdoa supaya negeri ini dijauhkan daripada bencana alam dan selesa serta gembira ketika merayakan perayaan berkenaan.

Advertisement