Anda di sini

Solskjaer sedaya upaya selamatkan Man United

Advertisement
SOLSKJAER
SOLSKJAER

MANCHESTER, England: Ole Gunnar Solskjaer berkata beliau tidak mudah terpengaruh ketika cuba menyelamatkan musim Manchester United dan berikrar untuk mengeluarkan yang terbaik dari Paul Pogba, yang tidak sehaluan dengan bekas pengurus, Jose Mourinho.

Solskjaer, bekas penyerang kegemaran Old Trafford itu dilantik sebagai pengurus sementara United sehingga akhir musim ini ekoran pemecatan Mourinho pada awal minggu.

Jurulatih dari Norway, 45, yang menghabiskan hampir 15 tahun sebagai pemain di United dan juga jurulatih skuad remaja, menegaskan kepentingan pemain bintangnya bermain dengan rasa gembira di bawah kepimpinan beliau selepas satu musim yang murung yang membawa kepada pemecatan Mourinho.

Tetapi beliau juga berkata beliau tidak berasa gentar untuk bertindak tegas seperti bekas pengurusnya, Alex Ferguson, yang turut dikenali dengan layanan “keras” ke atas beberapa pemain.

“Kami semua berbeza dari cara kami menguruskan pemain dan beliau (Ferguson) juga berbeza dengan semua jurulatih lain,” kata Solskjaer.

“Sudah tentu, saya mungkin akan meniru cara beliau jika perlu. Saya tidak gentar untuk bersikap tegas.

“Anda tahu jika anda berasa kecewa dengan anak-anak anda, maka anda akan memberitahu mereka, anda sudah tentu tidak akan memberikan mereka coklat.

“Jadi anda melayan pemain sama seperti cara anda melayani anak-anak anda kerana anda mahu yang terbaik dari mereka, anda mahu membimbing mereka, mahu membantu mereka.”

Ketibaan Solskjaer, dari kelab Norway, Molde, telah mengejutkan ramai pihak.

Tetapi beliau merupakan pelantikan popular, sekurang-kurangnya kerana beliau pernah bekerja dengan beberapa pemain semasa ketika menjadi jurulatih remaja kelab.

Pogba, di mana perhubungan dingin dengan Mourinho menyelubungi musim ini, adalah salah seorang pemain skuad Solskjaer pada 2010 dan beliau berikrar untuk cuba mengembalikan prestasi yang ditunjukkan oleh Pogba ketika membantu Perancis memenangi Piala Dunia 2018 di Rusia.

“Beliau pemenang Piala Dunia,” kata Solskjaer. “Paul seorang yang hebat dan apabila saya membimbing beliau ketika masih remaja, beliau sentiasa kelihatan seorang yang sentiasa ceria.

“Beliau tidak berubah dari segi personaliti. Beliau sudah pasti seorang pemain yang lebih bagus dan beliau adalah pemain yang saya mahukan yang lebih baik lagi. Anda mempunyai begitu ramai pemain berkualiti dan saya mahu menghasilkan yang terbaik dari mereka. Beliau tiada beza dengan pemain dalam hal ini.” — AFP

Advertisement