Anda di sini

RM1 juta untuk naik taraf Dewan MUC

Advertisement
Dr Annuar (empat kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada Anuar di sini, malam tadi.

SIBU: Kerajaan Negeri menunaikan janjinya apabila menyerahkan geran bernilai RM1 juta kepada Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di sini, malam tadi.

Geran tersebut disampaikan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee kepada Pengerusi Kelab MUC Anuar Taha.

Dr Annuar ketika ditemui pemberita berkata, geran tersebut dipersetujui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika lawatan beliau di Sibu pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Jelasnya, geran itu akan digunakan untuk menaik taraf reka bentuk dalaman Dewan MUC di Jalan Bandong di sini.

"Oleh itu, saya mewakili warga Kelab MUC dan juga penduduk Sibu merakam berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri di atas pemberian geran RM1 juta ini," katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu, MUC merupakan Kelab Melayu tertua di Sarawak yang kini sudah hampir menjangkau usia 84 tahun.

Beliau berkata, hampir setiap minggu Dewan MUC digunakan oleh orang ramai terutama masyarakat Islam setempat untuk mengadakan majlis perkhawinan.

Katanya lagi, pada masa ini dewan berkenaan hanya mampu memuatkan kira-kira 60 meja dalam satu masa.

"Untuk itu, geran ini akan kita gunakan untuk memperbesarkan bahagian kiri dan kanan dewan agar mampu menampung sekurang-kurangnya 80 hingga 100 meja.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan menaik taraf sistem suara dan penyaman udara termasuk sistem pencahayaan bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai yang menggunakan dewan ini kelak," katanya.

Justeru, beliau berharap kerja-kerja pengubahsuaian reka bentuk dalaman tersebut akan dimulakan seawal mungkin kerana memerlukan masa setahun untuk menyiapkannya.
 

  • oleh
  • Advertisement