Anda di sini

Langkah cegah kebakaran

Advertisement
 Abang Johari menyampaikan sijil kepada ahli pasukan Bomba Komuniti yang menyertai program sambil disaksikan Khirudin (kiri) dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (kanan).
TAHNIAH: Abang Johari menyampaikan sijil kepada ahli pasukan Bomba Komuniti yang menyertai program sambil disaksikan Khirudin (kiri) dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai (kanan).

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbang untuk meminda undang-undang kecil berkaitan pembinaan bangunan termasuk rumah panjang baharu demi mencegah kebakaran.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, perkara itu perlu dikaji terutama maklum balas serta penerimaan masyarakat luar bandar iaitu penduduk rumah panjang.

“Kita lihat (kaji) mungkin kita terpaksa meminda akta yang ada serta undang-undang kecil di bawah pihak majlis, yang mungkin boleh dijadikan sebagai mandatori.

“Namun kita tidak boleh memaksa untuk pembinaan sedemikian kerana belum ada penerimaan (penduduk) malahan setiap pembinaan rumah panjang ada tradisinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Bomba Komuniti Satok yang dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman di sini, semalam.

Di Sarawak terdapat Ordinan Bangunan Sarawak (SBO) 1994 iaitu melaksana, membangun dan membina mana-mana sambungan bangunan atau dengan kata lainnya sambungan haram ke atas apa-apa juga jenis bangunan tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Abang Johari berkata, pindaan itu juga perlu diteliti bukan sahaja melibatkan undang-undang tetapi perlu merujuk kepada bomba bagi setiap bangunan yang mahu dibina.

Beliau berkata pindaan itu dipertimbangkan agar terdapat mandatori yang perlu mengikut standard pembinaan rumah panjang baharu memandangkan banyak kes kebakaran melibatkan rumah panjang baru-baru ini.

Beliau menjelaskan sebelum ini Sarawak mempunyai satu reka bentuk standard pembinaan rumah panjang baharu iaitu dengan membina ‘fire wall’ atau dinding yang menghadang bahan api.

Namun kata beliau, ia bukan satu mandatori dan kini terdapat rumah panjang di Baram yang menggunakan reka bentuk standard berkenaan.

“Memang ada yang mengikut standard reka bentuk di mana ada ruang kosong di tengah sebelum dapur dan ada juga yang tidak mengikut kerana ia bukan mandatori setakat ini,” katanya.

Terdahulu Abang Johari dalam ucapannya amat menghargai usaha JBPM yang mewujudkan Bomba Komuniti yang dilihat amat penting untuk mencegah kebakaran serta kehilangan harta benda dan nyawa yang tidak sepatutnya berlaku.

“Dengan adanya Bomba Komuniti kita dapat bekerjasama dengan JBPM dan memaklumkan kepada masyarakat mengenai tindakan yang sewajarnya diambil apabila kebakaran atau musibah lain berlaku.

“Selain itu masyarakat kita mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan alat pemadam api selain menjaga peralatan kebakaran seperti pili bomba dengan baik agar apabila kebakaran berlaku tiada kerosakan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement