Anda di sini

PKR cuba selindung masalah dengan tuduh GPS sekadar bertukar kulit 

Advertisement
Fadillah bercakap kepada pemberita di Kuching hari ini.

KUCHING: Tuduhan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekadar bertukar kulit lebih untuk menyelindungi permasalahan dalam parti mereka sendiri.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata contoh jelas dalam pemilihan PKR, pemimpin mereka sendiri mengakui berlakunya rasuah. 

Justeru menurut Fadillah, bagi menyelindungi permasalahan mereka termasuk janji-janji yang tidak dapat dilaksanakan maka mereka (PKR) terpaksa membuat lencongan dengan cuba memaparkan GPS ini bersalin baju. 

“Kita telah membuktikan GPS bukan sahaja bersalin baju tetapi berbeza berbanding dahulu dimana dasar kita fokus bukan sahaja untuk kepentingan dan keutamaan rakyat Sarawak tetapi juga memastikan hubungan kita dengan Kerajaan Persekutuan terpelihara,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita hari ini pada Program Kembali Ke Sekolah bagi kawasan Parlimen Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya di sini. 

Fadillah yang Ahli Parlimen Petra Jaya menambah ahli politik dan pemimpin selain GPS boleh membuat pelbagai kenyataan mengenai GPS dan begitu juga dengan GPS. 

Tetapi katanya apa yang penting, GPS yang ditubuhkan oleh orang Sarawak sendiri kini bebas dalam menentukan dasar tanpa terikat dengan polisi di Semenanjung Malaysia. 

Bagaimanapun katanya, dalam konteks kerajaan, GPS masih perlu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berlandaskan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Tetapi dari sudut tuntutan hak dan perjuangan, GPS memfokuskan keutamaan kepada negeri dan rakyat Sarawak. 

Dalam perkembangan berkaitan, jentera PBB menurut Fadillah akan memulakan jerayawara ke semua cawangan PBB selepas pelancaran GPS yang dijangka berlangsung pada Januari 2019. 

Jerayawara ini katanya turut akan melibatkan komponen parti dalam GPS bagi menerangkan mengenai perjuangan serta dasar-dasar GPS. 

  • oleh
  • Advertisement