Anda di sini

Rakyat kedua Kanada ‘hilang’ di China

Advertisement
SPAVOR
SPAVOR

BEIJING: Seorang lagi rakyat Kanada yang telah disoal siasat oleh pihak berkuasa di China “kini hilang”, kata pegawai Kanada pada Khamis, yang memburukkan lagi ketegangan ekoran penangkapan seorang eksekutif telekom tertinggi dari China atas permintaan Amerika Syarikat (AS) di Vancouver.

Kementerian Luar Kanada mengenal pasti identiti rakyat kedua Kanada itu sebagai Michael Spavor, seorang perunding perniagaan di China yang memudahkan lawatan ke Korea Utara, berjumpa dengan pemimpinnya Kim Jong Un dan menjadi terkenal selepas dia mengatur beberapa lawatan bekas bintang NBA Dennis Rodman di sana.  

Kehilangannya disedari selepas bekas diplomat Kanada, Michael Kovrig, yang bekerja untuk badan pemikir International Crisis Group, ditahan ketika dia melawat Beijing pada Isnin lepas.

Penangkapan Kovrig dilihat oleh pakar sebagai balasan kepada tindakan Kanada menangkap Meng Wanzhou, ke-tua pegawai kewangan syarikat telekom gergasi dari China, Huawei, atas permintaan Washington ekoran dakwaan melanggar sekatan Iran.

Meng dibebaskan dengan jaminan KAN$10 juta (RM30 juta) oleh sebuah mahkamah di Vancouver pada Selasa lepas sementara menunggu pendengaran ekstradisi ke AS.

Kes Meng telah menimbulkan kemarahan Beijing dan menggugat hubungan Kanada dengan China, yang terbabit dalam perang dagangan de-ngan AS.

“Kami tahu seorang rakyat Kanada, Encik Michael Spavor, kini hilang di China,” kata jurucakap Kementerian Luar Kanada, Guillaume Berube, kepada AFP dalam satu e-mel.

“Kami tidak dapat meng-hubunginya sejak dia memaklumkan kepada kami bahawa dia sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa China,” katanya.

Sebelum identiti Spavor didedahkan, Menteri Luar Chrystia Freeland memberitahu satu sidang akhbar bahawa kerajaan Kanada “sedang berusaha gigih untuk memastikan di mana dia berada dan kami masih membangkitkan perkara ini dengan kerajaan China.”

Kementerian Luar China tidak menjawab segera pertanyaan yang dihantar menerusi faks.

Spavor berpangkalan di timur laut China, di mana dia mengendalikan program Paektu Cultural Exchange, sebuah organisasi yang memudahkan lawatan-lawatan sukan, kebudayaan, pelancongan dan perniagaan ke Korea Utara.

Dia menjadi terkenal selepas membantu memudahkan lawatan Rodman, bekas bintang pasukan Chicago Bulls, pada 2013 dan 2014.

Spavor juga pernah muncul dalam gambar media kerajaan Korea Utara yang menunjukkannya bercakap dengan Kim beberapa tahun lalu.

Usaha AFP untuk menghubungi dua nombor telefon bimbitnya disambut dengan pesan yang menyatakan “kuasa padam” atau “tidak sah” manakala panggilan ke pejabat Paektu Cultural Exchange tidak dijawab.

Nasib Kovrig juga tidak di-ketahui, kerana pihak berkuasa China belum lagi mengesahkan kenapa dia ditang-                                     kap.

Majikannya yang berpangkalan di Brussels, International Crisis Group (ICG), berkata dia ditahan oleh biro keselamatan negara China di Beijing pada malam Selasa lepas, tetapi sejak itu ia tidak menerima sebarang maklumat.

Jurucakap Kementerian Luar China Lu Kang pada Rabu berkata ICG tidak didaftarkan di China dan pekerjanya “melanggar” undang-undang jika mereka menjalankan kegiatan di negara itu.

Akhbar Beijing News pada Rabu melaporkan Kovrig sedang disiasat kerana disyaki “menjalankan aktiviti yang membahayakan keselamatan negara China” – satu ungkapan yang sering digunakan dalam kes pengintipan.

Pegawai Kanada berkata mereka dimaklumkan secara rasmi menerusi faks awal Rabu mengenai penahanan Kovrig.

“Kanada amat bimbang mengenai penahanan Encik Kovrig dan Kanada telah membangkitkan kes itu secara langsung dengan pegawai China,” kata Freeland.

Kovrig bekerja di Hong Kong untuk ICG berhubung isu-isu keselamatan dan dasar luar di rantau itu, khususnya di Semenanjung Korea.

ICG menutup pejabatnya di ibu negara China selepas Beijing meluluskan undang-undang mengenai badan bukan kerajaan (NGO), yang berkuatkuasa pada 2017, untuk mengawal kegiatan organisasi asing di buminya dengan lebih baik.

Rakan dan pakar berkata Kovrig mungkin telah menjadi “tebusan” dan “alat” dalam perbalahan yang melibatkan tiga negara.

“Dalam kes ini, ia adalah jelas bahawa kerajaan China mahu mengenakan tekanan maksimum ke atas kerajaan Kanada,” kata Guy Saint-Jacques, bekas duta Kanada ke Beijing, kepada wartawan AFP. — AFP

Advertisement