Anda di sini

PBT perlu manfaat sumber alam sebagai punca pendapatan 

Advertisement
JAUJAN (dua, kanan) pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Seminar Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sabah 2018, di sini pada Jumaat. 
JAUJAN (dua, kanan) pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Seminar Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sabah 2018, di sini pada Jumaat. 

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memanfaatkan sepenuhnya sumber semula jadi sebagai salah satu hasil yang menjana sumber pendapatan. 

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, sudah tiba masanya PBT mencari alternatif lain, selain bergantung kepada perkembangan komersial di setiap kawasan masing-masing. 

"Misalnya, dua contoh PBT iaitu di daerah Tongod dan Nabawan yang masih ada pembangunan komersial, tetapi kita akan memberi tumpuan kepada perkembangan alam sekitar kerana ia dapat menjadi satu sumber (alam) kepada kita. 

"Jadi kita mesti jaga sumber alam yang ada.. itu sebab saya perkenalkan PBT ini walaupun sudah ada agensi atau jabatan lain seperti Jabatan Perhutanan dan Hidupan Liar, supaya pendapatan kita peroleh daripada sumber kekayaan negeri yang akhirnya menarik pelancong datang. 

"Itu cara kita membangunkan kawasan PBT supaya tidak bergantung kepada kadar percukaian, dengan mencari sumber baharu," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Sabah 2018, di sini pada Jumaat. 

Selain itu Jaujan menambah, lambakan pembangunan lot - lot kedai komersial tanpa operasi akibat kekurangan penduduk di kawasan PBT daerah berkenaan juga dilihat tidak memberi sebarang keuntungan.

Sehubungan itu katanya, kementeriannya membangunkan PBT di kawasan itu terlebih dahulu dengan memperkenalkan konsep landskap mesra alam pada bulan lepas, sebelum diikuti oleh PBT di daerah lain. 

"Saya melihat Tongod kaya dengan flora dan fauna, selain ramai pihak penyelidik dari badan bukan kerajaan (Ngo) serta universiti luar negara datang membuat penyelidikan di sekitar daerah itu seperti Maliau Basin yang dijalankan secara percuma. 

"Akhirnya, mereka membawa sampel flora dan fauna yang ada di situ dan kita khususnya PBT tidak mendapat apa- apa pun sebagai sumber pendapatan. 

"Jadi tiba masa PBT perlu memainkan peranan...Itu sebab kita wujudkan PBT hijau yang bukan hanya kerana pokok hijau tetapi persekitaran dan kebersihan mesti dijaga, selain memperkenalkan bahawa Sabah memiliki tempat menarik," katanya. 

Mengenai penganjuran seminar itu, beliau mengingatkan semua ahli majlis yang baharu dilantik supaya memahami dan mengetahui tanggungjawab sebagai pembuat dasar dan polisi PBT. 

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa peranan berat yang diamanahkan kepada mereka perlu dipikul dengan lebih bertanggungjawab. 

"Kita harus sedar bahawa sepertimana yang disuarakan oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tugas utama kita sekarang adalah untuk mengutamakan rakyat. 

"Oleh itu, semua dasar atau polisi sedia ada atau digubal hendaklah memberikan kebaikan kepada penduduk setempat itu sendiri. Dengan itu barulah daerah di negeri ini akan membangun dan hasil baiknya dapat dinikmati oleh penduduk setempat," katanya. 

Terdahulu, seramai 250 ahli majlis PBT hadir pada seminar itu terdiri dari 25 PBT di seluruh Sabah, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan dua PBT baharu iaitu Telupid dan Kalabakan yang dijangka memulakan operasinya tahun depan.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew, Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh dan Mayor Bandaraya Kota Kianabalu Datuk Yeo Boon Hai.

  • oleh
  • Advertisement