Anda di sini

UPP belum terima permohonan rasmi penyertaan Entulu, Nyalau

Advertisement
 Lo ketika ditemui pemberita selepas mengemukakan permohonan bertulis untuk menukar nama dan logo UPP kepada yang baharu PSB, kepada ROS Negeri, semalam.
BELUM ADA: Lo ketika ditemui pemberita selepas mengemukakan permohonan bertulis untuk menukar nama dan logo UPP kepada yang baharu PSB, kepada ROS Negeri, semalam.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu (UPP) belum me-nerima sebarang permohonan rasmi daripada Datuk Joseph Entulu Belaun dan Datuk William Nyalau Badak untuk menyertai parti itu seperti dikhabarkan.

Setiausaha Agung UPP George Lo berkata, setakat ini apa yang dikhabarkan itu hanyalah spekulasi dan beliau bagi pihak parti tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Lo bagaimanapun berkata UPP sentiasa ‘membuka pintu’ kepada mana-mana individu atau pihak yang mahu menyertainya asalkan mempunyai aspirasi serta visi sama.

“Saya tidak mahu meng-ulas lanjut mengenai perkara ini (penyertaan Entulu dan Nyalau dalam UPP). Soalan ini perlu ditanya kepada mereka sendiri.

“Yang pasti pintu kami (UPP) sentiasa terbuka untuk siapa sahaja yang mempunyai aspirasi dan visi sama.

“Jika Datuk Joseph Entulu berkongsi visi dengan kami, kami mengalu-alukan penyertaaannya sebagai ahli parti.

“Pada peringkat ini, tiada permohonan rasmi daripada Datuk Joseph begitu juga daripada Datuk William,” ujarnya.

Lo menambah, jika Nyalau dan Entulu mengemukakan permohonan menyertai UPP, parti itu akan memberi pertimbangan sepenuhnya termasuk juga individu lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengemukakan permohonan bertulis untuk menukar nama serta logo UPP kepada yang baharu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menerusi Pengarah ROS Negeri Georgina Apphia Ngau di pejabat ROS Sarawak di sini, semalam.

Entulu bekas Ahli Parlimen Selangau manakala Nyalau bekas Ahli Parlimen Lubok Antu bersama tiga lagi ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) dipecat Jawatankuasa PRS pada 22 April 2018.

Menurut pengerusi jawatankuasa berkenaan yang juga Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing, pemecatan itu berikutan keingkaran mereka terhadap keputusan parti.

Sementara itu, Lo mene-gaskan setakat ini UPP belum mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ketika ini, kita perlu menunggu permohonan menukar nama dan logo UPP yang baharu diluluskan oleh ROS terlebih dahulu, itu lebih penting.

“Saya fikir UPP tidak perlu tergesa-gesa ketika ini, seperti dimaklumkan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg), ‘kita akan melakukannya apabila tiba masanya nanti’,” ujarnya.

Advertisement