Anda di sini

Ada ‘kejutan’ buat Vietnam: Cheng Hoe

Advertisement
 Mohd Farizal Marlias (tengah) menjalani sesi latihan bersama rakan bagi menghadapi perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. — Gambar Bernama
SEDIA MENGAUM: Mohd Farizal Marlias (tengah) menjalani sesi latihan bersama rakan bagi menghadapi perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menyedari tugas getir menunggu Harimau Malaya apabila berdepan Vietnam pada pertemuan final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe telah menyediakan ‘kejutan’ untuk pasukan ‘The Golden Dragons’ itu.

Tanpa memberi sebarang bayangan kejutan menunggu Vietnam, Cheng Hoe yakin anak-anak buahnya mampu mencipta keputusan positif.

“Beraksi di halaman sendiri serta menerima sokongan padu penyokong pasti akan melonjakkan semangat semua pemain kita kerana aura di Stadium Bukit Jalil sangat berbeza,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini semalam.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mengakui Vietnam mempunyai barisan pertahanan yang sangat kental dan menuntut pemain Malaysia berhati-hati semasa melancarkan serangan.

Pada masa sama, beliau mahu anak-anak buahnya menyerapkan tekanan dengan cepat agar dapat mengawal permainan.

Ketika tahap kecederaan dua tonggak utama skuad Harimau Malaya masih menjadi tanda tanya, Cheng Hoe memberi amaran sesiapa sahaja bakal diturunkan malam ini perlu memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan.

Beliau berkata dua tonggak pertahanan negara, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak dan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak belum pasti dapat diturunkan ekoran mengalami kecederaan ‘hamstring’.

“Mereka belum lagi dapat turun menjalani latihan bersama pasukan. Saya akan terus memantau tahap kecergasan mereka.

“Sesiapapun diturunkan dalam perlawanan akhir ini perlu beri impak dan semangat kepada pasukan seperti ditampilkan Syazwan dan Aidil,” katanya.

Cheng Hoe turut memasang impian mengulangi pencapaiannya pada edisi 2010, ketika beliau menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal menyaksikan skuad negara berjaya menjulang Piala AFF Suzuki.

“Saya rasa setiap jurulatih mempunyai impian untuk mengecap kejuaraan dan kejayaan pada 2010 akan sentiasa menjadi kenangan terindah buat saya.

“Namun pada 2018, ia situasi berbeza. Kali ini saya sebagai ketua jurulatih dan saya yakin dengan pemain-pemain bahawa mereka juga akan melakar kejayaan manis,” katanya.

Pada Piala AFF Suzuki 2010, Malaysia berjaya merangkul kejuaraan buat julung kalinya apabila menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia pada perlawanan akhir.

Sementara itu, pertemuan malam ini Malaysia berpeluang membalas dendam tumpas 2-0 di tangan Vietnam ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini.         

Skuad Vietnam kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-Seo itu mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan  agregat 4-2 ke atas Filipina pada aksi separuh akhir.

Malaysia pula ke perlawanan akhir selepas mengejutkan juara bertahan, Thailand melalui peraturan gol di tempat lawan sekalipun mencatat keputusan agregat 2-2.

Pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, skuad negara mengikat skuad Gajah Perang itu 2-2 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lepas.

Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 menggunakan format timbal balik.

Skuad negara akan berkunjung ke Hanoi, Vietnam pada 15 Disember ini selepas perlawanan final pertama di sini malam ini. — Bernama

Advertisement