Anda di sini

PP MSN Miri yakin lapan pemainnya mewakili Sarawak

Advertisement
 Barisan pemain PP MNS Miri memperolehi kemenangan ketika menentang Meriting Villa FC bersama Hakimi (kanan) di Lawas kelmarin.
MENANG LAGI: Barisan pemain PP MNS Miri memperolehi kemenangan ketika menentang Meriting Villa FC bersama Hakimi (kanan) di Lawas kelmarin.

MIRI: Pusat Pembangunan (PP) Bola Sepak Majlis Sukan Negeri (MSN) Miri melahirkan keyakinan lapan pemainnya mewakili Sarawak untuk Piala Belia dan Presiden.

Ketua Jurulatih PP MSN Miri, Mohamad Hakimi Man bagaimanapun enggan mengulas nama pemain berkenaan bagi membolehkan pemain-pemain lain terus bersaing.

“Kita mempunyai sistem pangkalan data yang lengkap bagi semua pemain yang berpotensi dan sekurang-kurangnya lapan pemain boleh melangkah lebih jauh,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Hakimi menarik perhatian bahawa pasukan itu telah banyak mengadakan perlawanan persahabatan bagi memantapkan mental dan fizikal pemain-pemainnya.

“Kita mengharungi lapan perlawanan persahabatan sebelum ini dan hanya kalah dan seri sekali, enam lagi perlawanan menang semuanya,” jelas beliau.

Untuk rekod, pasukan itu juga merupakan naib juara Liga Miri 2018 dan ia adalah pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Bagi kita apa yang penting pembangunan bola sepak perlu dilaksanakan lebih sistematik dalam mencari dan mengasah pemain-pemain dari bawah,” katanya.

Sementara itu, PP MSN Miri bertandang ke Lawas kelmarin bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan pasukan Meriting Villa FC.

Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat berjaya menjinakkan Meriting Villa FC dengan jaringan 2-1.

PP MSN Miri akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan Limbang FC Bawah 25.

Advertisement