Anda di sini

Tiada unsur jenayah

Advertisement
 Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak membawa anjing pengesan ke tempat kejadian untuk memastikan tiada lagi mangsa tertimbus. — Gambar Bernama
TELITI: Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak membawa anjing pengesan ke tempat kejadian untuk memastikan tiada lagi mangsa tertimbus. — Gambar Bernama

KUCHING: Insiden letupan di pusat beli-belah CityONE tiada unsur jenayah atau militan, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Beliau yang melawat lokasi kejadian semalam memberitahu, siasatan setakat ini mendapati insiden tersebut berlaku disebabkan kemalangan.

"Siasatan telah dijalankan dan kita dapati insiden letupan yang berlaku semalam (Selasa) tiada elemen atau unsur-unsur jenayah.

"Begitu juga di pihak risikan turut mendapati tiada elemen-elemen militan," ujarnya kepada pemberita.

Dzuraidi berkata, kematian tiga lelaki dalam insiden tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Setakat ini, kes masih disiasat sebagai SDR dan prosedur bedah siasat terhadap dua daripada tiga mangsa yang maut telah selesai dilaksanakan," katanya lagi.

Tiga mangsa yang terkorban ialah O Kui Lim, 49, dan Tchee Kiom Joong, 24, masing-masing dari Kuching serta seorang lelaki dari Pulau Pinang, Chin Hsien Loong, 29.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman mengesahkan, tiada lagi mangsa yang terperangkap dalam insiden itu.

Menurutnya, siasatan awal pasukan Forensik Bomba turut mengesahkan letupan berpunca daripada kebocoran gas.

"Pagi ini (semalam) kita bawa Unit Pengesan (K9) dan tiada unsur lain selain daripada jangkaan asal kita mengenai kebocoran gas.

"Sampel gas itu kita ambil dari punca, di mana terdapat tangki di bawah (tempat kejadian) tadi dan ia akan dianalisis di makmal kita untuk pengesahan seterusnya.

"Bagaimanapun, daripada ‘pattern’ (corak) letupan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kecederaan mangsa, kita dapati ia memang selari," jelas Khirudin.

  • oleh
  • Advertisement