Anda di sini

Sarawak guna sistem persidangan video pantau banjir

Advertisement
Uggah (dua kanan) bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Kuching hari ini. Gambar Chimon Upon
Uggah (dua kanan) bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Kuching hari ini. Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sistem persidangan video atau video conferencing akan diguna pakai bagi memantau situasi banjir di seluruh negeri ini dengan lebih cekap. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pemasangan sistem ini telah siap dan sedia untuk digunakan bagi tujuan tersebut. 

“Sistem ini sudah siap dipasang dan mulai sekarang Bilik Gerakan Negeri boleh membuat persidangan video dengan setiap bilik gerakan di semua daerah di Sarawak. 

“Menerusi persidangan video ini, kita dapat menggerakkan pasukan kita untuk mengendalikan situasi banjir di kawasan yang  terjejas,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia hari ini selepas Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. 

Mengulas lebih lanjut mengenai persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir, Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata jawatankuasa itu telah bersedia dari segi kekuatan petugas, logistik dan pusat pemindahan. 

Dari segi kekuatan anggota petugas katanya, seramai 22,436 anggota dan pegawai telah bersedia terdiri daripada pelbagai agensi antaranya  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Agensi Pertahanan Malaysia (APM), RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan R&DO (CERT). 

Persiapan logistik pula katanya, sebanyak lima buah helikopter dan lima unit alat drone akan digunakan termasuk 121 kenderaan jenis lori, 484 pacuan empat roda (4x4), 328  bot dan 101 ambulans. 

Pada masa sama, katanya sebanyak 621 pusat pemindahan banjir disediakan yang mampu menempatkan hampir 200,000 mangsa banjir di semua 12 bahagian di seluruh negeri. 

“Saya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh semua agensi bagi menghadapi musim monsun timur laut yang diramalkan melanda negeri ini pada penghujung bulan Disember ini hingga Februari tahun depan,” katanya. 

Uggah dalam pada itu berkata jawatankuasa berkenaan agak berpengalaman dalam mengendalikan situasi banjir di negeri ini yang berlaku setiap tahun di lain-lain lokasi. 

Beliau juga berharap jawatankuasa ini akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada semua mangsa banjir dan mengurangkan kerugian dan ketidakselesaan mangsa ketika berlakunya banjir nanti. 
 

  • oleh
  • Advertisement