Anda di sini

KPDNHEP rampas RM196,400 barangan tiruan 

Advertisement
GEORGIA (tengah) bersama pegawai KPDNHEP lain menunjukkan hasil rampasan barangan tiruan semasa sidang media pada Khamis.
GEORGIE (tengah) bersama pegawai KPDNHEP lain menunjukkan hasil rampasan barangan tiruan semasa sidang media pada Khamis.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merekodkan tangkapan terbesar tahun ini apabila berjaya merampas pelbagai barangan tiruan jenama Polo bernilai RM196,400.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata kejayaan itu dilakukan di sebuah pusat beli-belah terkemuka kira-kira jam 11.25 pagi, di sini.

“Sebaik menerima aduan daripada wakil syarikat jenama terbabit, lapan pegawai KPDNHEP melaksanakan serbuan dan berjaya merampas sejumlah pakaian serta aksesori tiruan.

“Antara yang dirampas termasuklah 1,117 unit baju lelaki pelbagai jenis, 640 baju berjenama sama, 159 baju wanita, 11 unit seluar, 27 topi, dan 10 unit tali leher dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM196,400,” katanya.

Pasukan serbuan turut merampas sijil pemilikan jenama Polo dan satu salinan lesen Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Tiga individu termasuk seorang pemilik dan dua pekerja kedai turut ditahan sebelum diambil keterangan,” katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Bercakap lanjut tentang kes berkenaan, Georgie berkata pemilik kedai dipercayai menjual barangan tiruan terbabit pada harga yang sama seperti barangan asal.

“Jika didapati bersalah individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama.

“Syarikat atau perbadanan juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang kesalahan pertama atau RM30,000 bagi setiap barang kesalahan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, setakat 30 November tahun ini, KPDNHEP berjaya merampas sejumlah barangan bernilai RM7,296,507.66 menerusi 1,081 kes pelbagai kesalahan yang dikesan daripada 47,065 serbuan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenakan kompaun sebanyak RM410,863 kea tas 819 kesalahan dan mengarahkan pembayaran denda sebanyak RM134,300.

  • oleh
  • Advertisement