Anda di sini

Pelajar PMU digesa capai PNGK cemerlang

Advertisement
 Abdubrani (dua kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Minggu Inspirasi Siswa PMU.
RASMI: Abdubrani (dua kiri) memukul gong sebagai simbolik perasmian Minggu Inspirasi Siswa PMU.

MUKAH: Pelajar Politeknik Mukah (PMU) digesa untuk terus cemerlang dalam setiap mata pelajaran bagi mencapai keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang.

Pengarah PMU Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Abdubrani Yunus berkata, untuk terus menempa kejayaan, mereka harus cemerlang dalam setiap kursus dan mengekalkan CGPA 3.0 dan ke atas.

“Kita menyasarkan sebanyak 60 peratus pelajar semester depan akan mendapat CGPA 3.0 dan ke atas,” katanya pada Majlis Perasmian Minggu Inspirasi Siswa PMU Sesi Disember 2018 di Dewan Kuliah Utama PMU semalam.

Menurut beliau, semester lepas mencatat seramai 47 peratus pelajar mendapat kecemerlangan CGPA 3.0 dan ke atas berbanding 37 peratus sahaja ketika semester sebelumnya.

Katanya, kecemerlangan ditunjukkan pelajar selain harus diterjemahkan dalam bentuk CGPA tinggi, turut bakal digunakan untuk persediaan ke institusi pengajian tingggi seterusnya atau ke alam pekerjaan.

Pelajar juga dinasihati memperkasakan kemahiran bahasa Inggeris, kemahiran keusahawanan, selain teknikal dan komunikasi sebagai persediaan ke alam pekerjaan atau ke institusi pendidikan lebih lanjut selepas ini.

Abdubrani pada masa sama turut mengatakan alam institusi pengajian tinggi di politeknik juga turut berlainan dengan alam persekolahan sebelumnya.

Pelajar juga diingatkan supaya tidak melanggar peraturan di kampus dan ikut serta dalam setiap aktiviti anjuran PMU selain mendapat CGPA 3.0 dan ke atas bagi memudahkan mereka mendapat kemudahan asrama pada setiap semester pengajian.

Minggu aluan siswa itu berlangsung selama tiga hari dan dijangka ramai lagi pelajar akan melapor diri untuk beberapa minggu akan datang.

Turut berucap Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Politeknik Mukah Kapten Bersekutu (PA) Hazatta Morshidi.

  • oleh
  • Advertisement