Anda di sini

Syvester Stallone umum akan bersara sebagai Rocky

Advertisement
Stallone
Stallone

SELEPAS lebih empat dekad dan lapan buah filem, pelakon Sylvester Stallone berkata dia akhirnya menggantung sarung tangan Rocky.

Dalam satu video yang dia kongsikan dalam Instagram bar-baru ini, pelakon berusia 72 tahun itu berkata dia bersedia untuk berhenti membawa watak ikonik itu, dan merujuk kepada penampilannya yang terbaharu dalam filem yang baharu dikeluarkan ‘Creed II’ sebagai “rodeo terakhir” baginya.

“Saya sangka Rocky berakhir pada 2006 dan saya sangat gembira dengan perkara itu,” katanya dalam video itu.

“Dan kemudian tiba-tiba, pemuda ini mengemukakan diri dan seluruh cerita berubah,” ujarnya, yang merujuk kepada seorang lagi bintang dalam filem ‘Creed’, Michael B. Jordan.

“Ia disambung kepada generasi baharu, masalah baharu, kembara baharu.”

Filem-filem ‘Creed’ merupakan kesinambungan kepada kisah Rocky, yang menceritakan tentang juara bersara itu tatkala dia berdepan dengan usia pertengahan dan melatih seorang ‘protege’ baharu.

Stallone berkata dia tidak mungkin lebih gembira lagi mengenai perkembangan drama Rocky yang bermula pada 1976 dan menceritakan tentang kehidupan peninju ‘underdog’ yang berani itu.

“Tatkala saya melangkah ke belakang, tatkala kisah saya telah diceritakan, dunia yang baharu sama sekali akan terbuka bagi penonton, bagi generasi ini,” katanya dan menambah ia terpulang kepada Jordan sekarang untuk “membawa mantel”.

Stallone berkata video itu, yang dipercayai difilemkan di sebuah pantai, bersebelahan dengan unggun api, dirakamkan pada hari terakhir pembikinan ‘Creed II’. Di dalamnya, dia bercakap kepada beberapa pelakon dan kru di set penggambaran filem tersebut.

Dalam satu pesanan dalam Instagram yang mengiringi video itu, Stallone berkata dia sedih untuk meninggalkan watak itu tetapi masanya sudah tiba untuk membuka lembaran baharu.

“Ia adalah satu penghormatan yang mutlak bagi saya untuk dapat mencipta dan membawa watak yang bermakna ini,” dia menulis.

“Walaupun ia menyayat hati saya, sedihnya semua perkara mesti berlalu ... dan berakhir.”

Filem Rocky yang pertama memenangi tiga Anugerah Akademi bagi filem terbaik, pengarah terbaik dan penyuntingan filem terbaik.

Stallone sudah dicalonkan sebanyak tiga kali untuk anugerah Oscar bagi wataknya dalam siri Rocky, tetapi anugerah yang diidam-idamkan itu sentiasa mengelaknya. — AFP

Advertisement