Anda di sini

Liga Europa: Arsenal dan Chelsea pamer aksi cemerlang

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa di antara Vorskla dan Arsenal di Stadium Olympiyski di Kiev. — Gambar AFP
PENUH AKSI: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa di antara Vorskla dan Arsenal di Stadium Olympiyski di Kiev. — Gambar AFP

PARIS: Dua kelab dari London, Chelsea dan Arsenal, mengecapi kemenangan dalam Liga Europa kelmarin manakala dua kelab gergasi dari Glasgow, Celtic dan Rangers, dipaksa bekerja keras pada hari perlawanan terakhir untuk layak ke peringkat seterusnya.

Unai Emery memilih pasukan Arsenal yang muda untuk bermain di Ukraine dan mereka menang 3-0 ke atas Vorskla Poltava, bagi menjamin tempat teratas dalam Kumpulan E dalam perlawanan yang ditukarkan ke Kiev yang sejuk ekoran kebimbangan mengenai keselamatan di timur negara itu.

Dua pemain remaja Emile Smith Rowe dan Joe Willock menjaringkan gol sebelum dan selepas Aaron Ramsey menyempurnakan tendangan penalti untuk meletakkan pasukan The Gunners 3-0 di hadapan pada waktu rehat.

Jurulatih Vorskla Poltava merungut bahawa pertukaran yang dipaksa oleh UEFA telah menafikan “percutian’ bagi bandar itu, selain menganggu tumpuan pemainnya.

Arsenal kini akan mengelak pasukan yang tersingkir dari Liga Juara-Juara dalam undian untuk pusingan seterusnya kerana mereka memiliki rekod yang lebih baik berbanding kelab di tempat kedua Sporting Lisbon.

Maurizio Sarri menuntut reaksi daripada pasukannya Chelsea selepas mereka tewas di Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris dan pasukan The Blues menyahut seruannya dengan menewaskan PAOK Salonika 4-0 untuk memenangi kumpulan mereka dengan dua gol daripada penyerang utama Perancis, Olivier Giroud.

“Sasaran utama adalah untuk menang, kami memerlukan reaksi pasukan yang kuat dan kami melakukannya dengan baik pada malam ini,” kata Giroud yang memenangi Piala Dunia.

“Saya amat gembira dengan semangat pasukan dan kami dapat maju ke hadapan sekarang dan memulakan momentum baharu.

“Saya pernah menjaringkan gol pada masa lalu tetapi ia memang benar bayawa saya menunggu lebih banyak peluang,” kata Giroud, yang menamatkan tempoh lama tanpa sebarang jaringan pada pusingan sebelum ini.

“Kita memerlukan sedikit tuah di depan gol. Saya ada bantuan yang baik daripada rakan sepasukan, saya amat suka sekali dengan bola seperti ini di belakang barisan pertahanan.

“Empat gol dan tidak dibolosi gol, malam yang baik untuk kami. Apabila pengurus menurunkan saya, saya cuba memberikan yang terbaik, dan memainkan peranan saya.”

Celtic masih memerlukan keputusan seri pada hari terakhir untuk mara seleaps menewaskan Rosenborg yang tidak ada mata di tempat lawan bagi tahun kedua berturut-turut hasil tandukan kencang Scott Sinclair sejurus sebelum waktu rehat.

Pasukan dari Scotland itu boleh mengucapkan terima kasih kepada kelab dari Austria, RB Salzburg, yang mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas kelab kembar mereka dari Jerman, RB Leipzig. Kelab Jermain itu kini perlu menang di Glasgow untuk layak di hadapan Celtic.

Rangers seri 0-0 di tempat sendiri dengan Villarreal dari Sepanyol, bagi menghidupkan harapan mereka pada hari terakhir untuk layak dari Kumpulan G, satu mata di belakang kelab Sepanyol itu dan Rapid Vienna yang kedua-duanya mempunyai tujuh mata.

Bayer Leverkusen, Zurich, Dinamo Zagreb, Arsenal, Frankfurt, Lazio dan Chelsea sudah layak sebelum perlawanan kelmarin apabila Salzburg, Sporting Lisbon, Real Betis, Zenit Saint-Petersburg, Dynamo Kiev, Krasnodar dan Fenerbahce menempah tempat mereka untuk undian bagi pusingan seterusnya.

Sporting menyumbat enam gol melepasi Garabagh di Azerbaijan manakala dalam satu lagi perlawanan yang menyaksikan banyak jaringan, AC Milan muncul sebagai pemenang 5-2 ke atas kelab kerdil Dudelange dari Luxembourg tetapi memerlukan keputusan seri dengan Olympiakos dalam perlawanan terakhir untuk layak. — AFP

Advertisement