Anda di sini

Olimpik Tokyo 2020 peluang pasar produk halal

Advertisement

TOKYO: Syarikat pengeluar produk halal Malaysia perlu merebut peluang dan menjadikan Olimpik Tokyo 2020 sebagai batu loncatan untuk menembusi segmen pasaran halal di Jepun.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata permintaan terhadap  produk halal dijangka meningkat semasa berlangsungnya sukan itu kerana Jepun akan menerima kunjungan banyak atlet dan pelawat beragama Islam menjelang 2020.

Berikutan itu, katanya Jepun akan memerlukan kepakaran, produk dan perkhidmatan berkaitan status halal bagi memenuhi permintaan yang bakal diterimanya.

“Bercakap mengenai Olimpik, saya mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa penganjur pagi ini dan mereka memberitahu saya mereka memerlukan sejumlah besar makanan halal untuk atlet dan pihak yang terlibat dengan sukan itu,” katanya pada majlis perasmian The Halal Fiesta (Halfest) Tokyo di sini semalam.

“Perkampungan Olimpik memerlukan banyak makanan, jadi tentulah anda dapat banyangkan jumlah yang diperlukan. Ini adalah peluang besar bagi syarikat pengeluar produk halal, tetapi janganlah berhenti setakat itu sahaja, jadikannya batu loncatan untuk memasuki pasaran dan pandanglah ke masa depan,” tambahnya.

Halfest adalah ekspo perdagangan dan pengguna produk halal yang bertujuan mengetengahkan dan meluaskan peluang yang wujud berikutan perkembangan pesat industri halal di Jepun.

Sebanyak 38 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, biotek, penyelesaian perubatan dan kosmetik, mengambil bahagian sebagai pempamer pada ekspo tiga hari itu, yang bermula hari ini.

Sementara itu, Mohd Redzuan berharap peserta Malaysia pada Halfest Tokyo akan mendapat manfaat daripada acara berkenaan dan membantu mereka untuk lebih memahami tentang pasaran Jepun, termasuk perkara berkaitan peraturan kawal selia.

“Saya juga menyeru semua syarikat yang mengambil bahagian supaya meluaskan lagi jaringan mereka untuk mengukuhkan momentum kepercayaan serta peluang yang melampaui tempoh ekspo ini diadakan,” kata beliau yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun, yang berkahir hari ini.

Semalam, Mohd Redzuan mewakili Malaysia menandatangani memorandum kerjasama  dengan Jepun bagi merintis jalan ke arah mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dalam industri halal antara kedua-dua negara. — Bernama

Advertisement