Anda di sini

Ada syarikat ambil kesempatan: Azis

Advertisement
AZIS JAMMAN
AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan terdapat syarikat yang mengambil kesempatan menjual borang permohonan untuk mendapatkan dokumen sah.

Beliau berkata syarikat yang menyediakan perkhidmatan menaip dan memberi akuan bersumpah di Kampung Air itu bertindak menghebohkan maklumat terbabit kepada pemegang IMM13 iaitu pemegang kad pengenalan merah atau Pemastautin Tetap (MyPR) dan Pemastautin Sementara (MyKas).

"Pihak syarikat turut mendakwa kononnya jika melalui surat permohonan terbabit dengan disertakan akuan bersumpah serta mendapat sokongan saya, akan mendapat kewarganegaraan atau dokumen yang membolehkan mereka tinggal di Sabah.

"Perbuatan pihak syarikat itu menyebabkan ramai individu yang datang di kedai mereka untuk membuat permohonan dan mendapatkan akuan bersumpah dari kedai mereka yang mana setiap permohonan dikenakan bayaran RM40," katanya.

Aziz berkata pihaknya sudah mengarahkan pihak polis untuk melaksanakan tangkapan terhadap individu terlibat dalam kegiatan itu dan kesemua suspek kini dalam tahanan reman polis.

Dalam pada itu, tiga individu masing-masing dua wanita berumur 32 dan 48 tahun serta seorang lelaki pembantu kedai yang juga pemegang IMM13 ditahan polis pertengahan bulan lalu di sebuah premis di Kampung Air pada jam 2.30 petang.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement