Anda di sini

Dua bulan untuk syarikat beralih kepada biodiesel B10

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat petroleum diberi masa dua bulan untuk beralih daripada biodiesel B7 (campuran tujuh peratus methyl ester minyak sawit dan 70 peratus diesel petroleum) kepada B10 sebelum pelaksanaannya diwajibkan pada 1 Februari, 2019.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata program biodiesel B10 (campuran 10 peratus methyl ester minyak sawit dan 90 peratus diesel petroleum) bagi sektor pengangkutan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan depan (1 Disember).

“(Keadaan) Harga minyak sawit yang rendah ketika ini  adalah masa tepat untuk melaksanakan program peluasan biodiesel yang telah ditangguhkan pada 2016,” katanya pada sidang media di sini, semalam untuk mengumumkan program biodiesel B10 bagi sektor pengangkutan dan B7 bagi sektor perindustrian.

Sementara itu, Kok berkata program B7 bagi sektor perindustrian akan dilaksanakan bermula 1 Julai, 2019.

“Peningkatan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) tempatan akan membantu mengurangkan stok tinggi dan kenaikan harga MSM ketika ini, dipacu oleh permintaan lebih tinggi dan akhirnya akan memanfaatkan pekebun kecil menerusi kenaikan harga sawit tandan segar,” katanya.

Beliau berkata keputusan untuk melaksanakan program biodiesel B10 dan B7 didorong oleh impak positif dan manfaatnya terhadap ekonomi, industri minyak sawit serta alam sekitar negara.

“Langkah ini akan menggalakkan penggunaan minyak sawit tempatan kerana ia dijangka menggunakan 761,000 tan minyak sawit setahun dan menyumbang kepada pengurangan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) sebanyak 2.2 juta tan karbon dioksida (CO2) setahun.

“Program biodiesel B7 ketika ini bagi sektor pengangkutan diperkenalkan pada November 2014, memanfaatkan 350,000 tan biodiesel sawit setahun, menyumbang kepada pengurangan pengeluaran GHG sebanyak 1.05 juta tan CO2.

“Program biodiesel selaras dengan matlamat kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan 40 peratus pengeluaran karbon negara menjelang 2020,” katanya.

Kementerian Industri Utama turut melibatkan pihak berkepentingan dalam pelaksanaan program itu, kata Kok dan menurutnya mereka termasuk agensi kerajaan, pengeluar kenderaan, syarikat petroleum, Persekutuan Pengeluar Malaysia, Persatuan Biofuel Malaysia, dan Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan Selangor dan Wilayah Persekutuan. — Bernama

Advertisement