Anda di sini

Gol Ronaldo, Mandzukic pastikan Juve terus unggul di puncak Serie A Itali

Advertisement
RONALDO
RONALDO

ROM, Itali: Cristiano Ronaldo mengekalkan rentak cemerlang untuk Juventus apabila beliau dan Mario Mandzukic menjaringkan gol pada perlawanan kedua berturut-turut untuk membantu pendahulu Serie A Itali itu menjarakkan kedudukan dengan kelebihan sembilan mata selepas menewaskan SPAL 2-0 Sabtu lepas.

Ronaldo membuka jaringan dari satu tendangan percuma Miralem Pjanic pada minit ke-29 untuk berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak liga bersama Krzysztof Piatek dari Genoa dengan sembilan gol sebelum Mandzukic melengkapkan jaringan pada minit ke-60 menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Valencia Selasa ini.

Ronaldo dan Mandzukic juga menjaringkan gol ketika Juventus menewaskan AC Milan 2-0 dua minggu lepas dan gol Ronaldo itu adalah yang ketujuh dari lapan perlawanan dalam semua pertandingan bersama kelab baharunya, dengan jumlah keseluruhan gol beliau musim ini adalah 10.

“Cristiano melakukan sesuatu yang mengejutkan lawan dan itu adalah apa yang kami perlukan,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kadang-kadang kami melakukan terlalu banyak hantaran dan rentak permainan itu hilang.

“Cristiano bergerak dan berfikir sangat pantas, beliau melihat Douglas Costa di bahagian sayap dan melakukan umpanan. Kami perlu memperbaiki cara membaca permainan, cara memikirkan langkah seterusnya dengan cepat.”

SPAL, yang bersaing mengelak penyingkiran, ternyata bukan lawan buat Juventus, yang berada sembilan mata di hadapan Napoli dan Inter Milan dengan Napoli boleh merapatkan kedudukan kepada kurang enam mata jika menewaskan Chievo pada perlawanan lewat.

Ronaldo, 33, yang juga terlibat dengan gol kedua yang dijaringkan Mandzukic, memakai lilitan kapten buat kali pertama.

Ronaldo menerima umpanan cantik dari Douglas Costa untuk membuka jaringan.

“Gol pertama mengubah rentak permainan dan saya berasa sangat marah kerana pemain bertindak terlalu perlahan untuk membolehkan Ronaldo menjaringkan gol,” kata jurulatih SPAL, Leonardo Semplici. — AFP

Advertisement