Anda di sini

Khidmat masyarakat di Kampung Pulau Salak berjaya capai objektif

Advertisement
 Kesemua peserta program bergambar untuk kenang-kenangan setelah program selesai.
CAPAI OBJEKTIF: Kesemua peserta program bergambar untuk kenang-kenangan setelah program selesai.
 Pelajar pascasiswazah turut serta menjayakan program khidmat masyarakat, turut kelihatan Danggat (dua kanan).
TIDAK KETINGGALAN: Pelajar pascasiswazah turut serta menjayakan program khidmat masyarakat, turut kelihatan Danggat (dua kanan).
 Peserta program menunggu bot tiba dari tanah besar.
MASA PULANG: Peserta program menunggu bot tiba dari tanah besar.
 Pihak penganjur berharap Program Khidmat dan Penglibatan Masyarakat mampu menerapkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar daripada sisa buangan.
JAGA KEBERSIHAN: Pihak penganjur berharap Program Khidmat dan Penglibatan Masyarakat mampu menerapkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar daripada sisa buangan.

PROGRAM Khidmat dan Penglibatan Masyarakat yang diadakan di Kampung Pulau Salak, Petra Jaya baru-baru ini, mencapai objektif penganjurannya.

Menurut jurucakap penganjur Danggat Chabo, program sehari itu bermula seawal jam 7 pagi dengan para peserta berkumpul di Jeti Pangkalan Kubur, Samariang Water Park sebelum bertolak ke destinasi dituju, kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot.

“Setelah semua peserta berkumpul dan diberi taklimat ringkas berkenaan program, kami bertolak dengan menaiki bot menuju Kampung Pulau Salak, sebuah perkampungan Melayu.

“Semua peserta teruja memandangkan ada antara mereka baharu pertama kali menyertai program seperti ini,” katanya kepada Utusan Borneo.

Program melibatkan dua pensyarah yang diketuai Dr Haslina Hashim, 48 pelajar prasiswazah dari Program Pengurusan Dan Pembangunan, enam pelajar pascasiswazah dari Pusat Spatially Intergrated Digital Humanities, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tiga objektif utama program yang telah dicapai dengan jayanya ialah aktiviti mengumpul sampah-sarap di kawasan kampung dan membawanya kembali ke tanah besar, kempen denggi oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan ceramah kesedaran daripada pihak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.

Selari dengan konsep program melibatkan masyarakat setempat, pihak penganjur mengajak dan mendedahkan anak muda yang terdiri daripada 28 pelajar Tahap 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Salak terhadap aktiviti kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Para peserta program berjaya mengumpul sampah-sarap sebanyak 788 kilogram (kg) iaitu sisa buangan plastik (281kg), besi (2kg), tin (6kg), sisa kaca (25.5kg), kertas (7kg), sisa aluminium (3.5kg) dan sisa buangan lain sebanyak 463kg.

“Seperti yang kita sedia maklum, Sarawak khasnya, telah bersedia untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Seiring dengan pembangunan mampan, tidak dinafikan banyak isu alam sekitar yang lebih kompleks muncul.

“Bagi mengawal dan mengatasi isu-isu melibatkan alam sekitar perlu bermula dari bawah dan semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi seperti UNIMAS bersama NREB harus bertanggungjawab melestarikan pemuliharaan alam sekitar.

“Sepatutnya program khidmat masyarakat harus diperbanyak dan dipelbagaikan di setiap lapisan masyarakat agar golongan sasar mendapat manfaat daripada penganjurannya, untuk generasi hari ini dan juga masa depan,” jelasnya.

Selain itu, pihak penganjur sentiasa mengalu-alukan maklum balas dan cadangan untuk meningkatkan kualiti program serta penyampaian khidmat masyarakat mereka.

Program mendapat sokongan penuh pihak Hardwood Timber, DBKU dan NREB serta menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Kampung Pulau Salak terkenal dengan makanan laut dan hidupan liar yang jarang ditemui seperti Proboscis Monkey atau orang belanda sementara muara sungai menjadi lokasi ikan lumba-lumba, tetapi penduduk menghadapi isu sisa buangan yang boleh mengganggu dan mengancam kelestarian alam sekitar.

  • oleh
  • Advertisement