Anda di sini

Industri 4WRD jamin sektor pembuatan kekal berdaya saing

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polisi Kebangsaan Mengenai Industri 4.0 atau Polisi Industri4WRD akan memastikan supaya industri Malaysia, terutamanya sektor pembuatan mampu ke hadapan dan berdaya saing bagi menangani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking berkata pelan tindakan itu bertujuan mengorak langkah bagi meningkatkan produktiviti, mencipta pekerjaan serta sumber bakat yang berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan, yang akhirnya akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat.

“Kerajaan, melalui MITI telah melancarkan Industri4WRD, yang akan memastikan negara terus berdaya saing dan maju. Ketangkasan negara untuk menyesuaikan diri dengan Industri 4.0 akan memacu industri ke hadapan dan menjadikan Malaysia sebagai prospek yang menarik bagi industri berteknologi tinggi, dengan nilai tambah dan berinovatif tinggi pada tahun-tahun akan datang.

“Program Penilaian Kesediaan Industri4WRD pula, akan membolehkan perniagaan untuk menilai di mana kedudukan mereka, mengenal pasti jurang yang wujud dalam barisan pengeluaran mereka dan membantu mereka memasuki Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan sempena pengumuman data produktiviti buruh Malaysia bagi suku ketiga 2018.

Produktiviti buruh Malaysia dalam suku tersebut mencatatkan prestasi yang positif walaupun di sebalik, ketidaktentuan perdagangan global.

Produktiviti buruh yang diukur dengan nilai tambah kerja sejam meningkat sebanyak 2.9 peratus dan diukur dengan nilai tambah setiap orang pekerja, telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus.

Darell berkata cabaran yang menghalang pertumbuhan produktiviti mesti ditangani dan inisiatif-inisiatif produktiviti perlu bermula daripada semua pihak termasuk kerajaan, ahli akademik dan industri.

“Sudah sampai masa untuk kita bekerjasama sebagai satu pasukan bagi mempercepatkan misi memupuk minda positif dan budaya ke arah mencapai tahap produktiviti RM88,540 pada 2020,” katanya.

Beliau juga berkata peningkatan dalam produktiviti akan memberi manfaat kepada rakyat dalam mengurangkan kos dan pada masa yang sama menambah hasil keluaran bagi kehidupan yang lebih berkualiti. — Bernama

Advertisement