Anda di sini

Tiga lelaki jual barang disyaki hasil curi ditahan

Advertisement
 Ketiga-tiga suspek direman di Mahkamah Majistret Limbang.
SIASAT LANJUT: Ketiga-tiga suspek direman di Mahkamah Majistret Limbang.

LIMBANG: Tindakan dua adik-beradik mengaut keuntungan dengan menjual pelbagai barangan dipercayai hasil curi dari sebuah stor kerajaan memakan diri apabila kegiatan mereka berjaya dihidu polis sebelum ditangkap di sini, kelmarin.

Dua beradik berusia 35 dan 31 tahun dari Jalan Pandaruan terbabit dan seorang lagi rakan mereka yang berumur 37 tahun dari Jalan Pemukat ditahan di tiga lokasi berasingan antara jam 12 tengah hari dan 5 petang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, hasil siasatan awal mendapati dua beradik terbabit menjual barangan curi seperti baja dan mesin pemotong rumput yang dikebas dari stor milik sebuah agensi kerajaan.

“Bagaimanapun, rakan mereka tidak mengaku menjual dan memecah masuk stor berkenaan,” ujarnya kepada media semalam.

Mohd Bukhori berkata, kehilangan pelbagai barangan di stor itu dilaporkan penjaga stor yang juga abang kepada dua beradik berkenaan pada 5 November lepas.

“Kecurian itu disedari pengadu, 36, ketika memulakan kerja jam 8 pagi di stor berhampiran Jalan Sungai Kudong Limbang pada 5 November lepas.

“Antara barangan yang hilang termasuk empat unit pemotong rumput, baja dan racun perosak pelbagai jenis dengan anggaran kerugian RM19,000,” katanya.

Jelasnya, hasil risikan dan maklumat awam, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek dan kesemua mereka yang juga penganggur direman semalam selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Advertisement